Mayat lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Kobat ditemukan

Foto JBPM

KUANTAN, 18 Jun – Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di Sungai Kobat dekat Taman Impian, Jalan Sungai Lembing di sini ditemukan awal pagi Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
  • Operasi SAR memasuki hari kedua, bermula pada 7.15 pagi Rabu, melibatkan anggota BBP Indera Mahkota dan BBP Taman Tas.
  • Pasukan disertai enam anggota PPDA BBP Pekan, enam PPDA BBP Kuantan, serta jentera, bot aluminium dan bot fiber.
  • Pencarian menggunakan teknik permukaan sejauh satu kilometer dan selaman 100 meter pada kedalaman tujuh meter; dibantu PDRM, APM dan penduduk.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata mayat mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Mangsa, Muhammad Firdaus Zuharsema, 26 tahun, ditemukan pada pukul 2.30 pagi, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

“Operasi SAR hari kedua bermula pada pukul 7.15 pagi Rabu, membabitkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota serta dua anggota dari BBP Taman Tas,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi itu turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pekan dan enam anggota PPDA BBP Kuantan, bersama jentera, bot aluminium dan bot fiber.

“Pasukan SAR menggunakan teknik pencarian di permukaan air sejauh satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

“Selain itu, pasukan PPDA turut menjalankan selaman sejauh 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh pada kedalaman tujuh meter,” jelasnya.

Operasi SAR turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

Dalam kejadian pada Selasa, mangsa dikatakan tercampak ke dalam sungai selepas bot dinaiki bersama rakannya terlanggar bongkah kayu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.