
KUALA LUMPUR, 15 Jun– Malaysia menyambut baik pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah mengurangkan ketegangan di Asia Barat.
- Perkembangan membuka ruang bagi penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan melalui rundingan susulan.
- Penghargaan kepada Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi dan Turkiye atas sokongan diplomatik serta dialog antara pihak berkaitan.
- Langkah awal seperti keselamatan maritim dan pelepasan sekatan berfasa menyumbang kepada kestabilan serantau dan keselamatan tenaga.
Menurut Kementerian Luar, perkembangan tersebut turut membuka ruang kepada usaha mencapai penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkekalan.
“Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Turkiye serta negara-negara serantau atas peranan masing-masing dalam menyokong usaha diplomatik serta dialog antara pihak-pihak berkenaan.
Malaysia turut mengiktiraf komitmen serta penglibatan konstruktif semua pihak dalam memajukan usaha mengurangkan ketegangan serta mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.
Malaysia berharap pemeteraian MoU yang dijadual berlangsung di Switzerland pada 19 Jun ini akan membuka laluan kepada rundingan susulan bagi mencapai perjanjian keamanan yang kekal dan menyeluruh.
Kenyataan itu turut menyatakan langkah pelaksanaan awal yang dipersetujui, termasuk berkaitan keselamatan maritim dan pelepasan sekatan secara berfasa, mampu menyumbang kepada kestabilan serantau, kebebasan navigasi di Selat Hormuz serta keselamatan tenaga global.
Malaysia menegaskan keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai menerusi dialog, diplomasi dan penghormatan bersama serta akan terus menyokong segala usaha yang menyumbang kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.