
KOTA BHARU, 15 Jun – Polis Kelantan mengesahkan terdapat dalam kalangan etnik Rohingya yang telah lama menetap di negeri ini dikesan berperanan sebagai tekong darat, dipercayai membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
- Rekod: 689 kes dengan 1,548 tangkapan; 277 kes 723 tangkapan tahun lalu, 412 kes 825 tangkapan Jan hingga Mei.
- 384 kes pelanggaran imigresen tahun ini termasuk 16 kes penyeludupan migran melibatkan 21 individu.
- Dianggarkan lebih 13,000 etnik Rohingya di Kelantan; 5,373 pemegang kad UNHCR; berpusat di beberapa daerah dan bekerja sebagai buruh ladang dan tukang rumah.
- Semua individu dipantau rapi oleh polis; setakat ini tiada aduan awam mengenai keresahan terhadap kehadiran mereka.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan beberapa tangkapan yang dilakukan pihaknya terhadap individu daripada etnik berkenaan di negeri ini.
Menurut beliau, rekod tahun lalu dan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan sebanyak 689 kes membabitkan etnik Rohingya dengan 1,548 tangkapan direkodkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 277 kes dengan 723 tangkapan dicatatkan pada tahun lalu, manakala 412 kes dengan 825 tangkapan direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
“Kebanyakan tangkapan dibuat di kawasan sempadan ketika cubaan memasuki negara ini melalui Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, berdasarkan siasatan semasa, sebanyak 384 kes kesalahan imigresen direkodkan tahun ini, termasuk 16 kes berkaitan penyeludupan migran yang melibatkan 21 individu.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes jenayah lain membabitkan etnik berkenaan termasuk jenayah harta benda seperti kecurian dan pencerobohan serta beberapa kes kekerasan, namun setakat ini tidak melibatkan kes jenayah berat.
Mengulas lanjut, Datuk Mohd Yusoff berkata lebih 13,000 etnik Rohingya dikenal pasti berada di Kelantan dengan 5,373 daripadanya memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, kumpulan itu berada di beberapa daerah termasuk Tanah Merah, Pasir Puteh, Bachok, Jeli, Kuala Krai dan Kota Bharu, dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh ladang dan tukang rumah.
Beliau menegaskan semua individu berkenaan kini berada dalam pemantauan ketat pihak polis.
Setakat ini tiada aduan diterima daripada orang awam mengenai keresahan terhadap kehadiran mereka.