UMT terajui pemuliharaan karang melalui penyimpanan genetik jangka panjang

Kelunturan karang yang berlaku di perairan Pulau Bidong, Terengganu/Foto UMT

KUALA NERUS, 15 Jun – Menyedari kepentingan terumbu karang kepada kelangsungan ekosistem laut, pelbagai usaha pemuliharaan sedang dilaksanakan oleh institusi penyelidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMT memperkenalkan cryobank larva karang pertama di Malaysia bagi penyimpanan genetik jangka panjang dan pemulihan populasi masa hadapan.
  • Teknologi cryopreservation membolehkan sperma, telur dan larva disimpan pada suhu ultra rendah untuk tujuan pemulihan dan kajian masa depan.
  • UMT rakan strategik projek serantau membina rangkaian cryobank di Segi Tiga Terumbu Karang bersama institusi serantau dan sokongan CORDAP.
  • Pendekatan pemuliharaan merangkumi penanaman semula, pemantauan jangka panjang, kawasan perlindungan dan pendidikan awam sebagai pelaburan untuk generasi akan datang.

Antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah penggunaan teknologi cryopreservation atau pembekuan kriogenik yang membolehkan bahan genetik karang seperti sperma, telur dan larva disimpan pada suhu ultra rendah bagi tujuan pemulihan populasi pada masa hadapan.

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pasukan penyelidik telah memperkenalkan kemudahan cryobank larva karang pertama di Malaysia, sekali gus menjadi pencapaian signifikan dalam usaha pemuliharaan terumbu karang negara.

Menurut Penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Lee Jen Nie, usaha menyelamatkan karang perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi kelangsungan ekosistem marin.

“Misi kami bukan sahaja untuk memelihara karang pada hari ini, tetapi juga membina asas bagi penyelidikan masa hadapan dan pemuliharaan terumbu karang yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Selain itu, UMT juga merupakan rakan strategik utama dalam projek serantau Coral Conservation Capacity Development in the Coral Triangle: A Cryorepository Network for Coral Larvae yang menghimpunkan institusi penyelidikan dari Malaysia, Taiwan, Filipina, Indonesia dan Thailand.

Prof. Madya Dr. Lee Jen Nie, pakar terumbu karang di Falkulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT

Inisiatif yang mendapat sokongan Coral Research & Development Accelerator Platform (CORDAP) serta Marine Environment and Resources Foundation itu bertujuan mewujudkan rangkaian cryobank larva karang pertama di kawasan Segi Tiga Terumbu Karang, iaitu antara kawasan biodiversiti marin paling penting di dunia.

Dr. Lee Jen Nie menjelaskan penyelidikan awal memberi tumpuan kepada karang daripada famili Pocilloporidae, iaitu spesis pembina terumbu yang berkembang pesat dan berpotensi tinggi untuk program rehabilitasi terumbu karang.

“Sepanjang tahun 2025, sebanyak 4,963 planulae karang direkodkan daripada koloni yang dipantau. Menjelang Mei 2026, jumlah itu meningkat kepada 5,184 planulae, menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pemantauan pembiakan dan pengumpulan larva karang,” katanya.

Selain pembangunan cryobank, usaha pemuliharaan turut merangkumi program penanaman semula karang, pemantauan saintifik jangka panjang, pembangunan kawasan perlindungan marin serta penyelidikan berkaitan daya tahan karang terhadap perubahan iklim.

Program pendidikan dan kesedaran awam juga terus diperkasakan bagi membentuk sikap masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan lautan.

Hakikatnya, pemuliharaan karang bukan sekadar menyelamatkan struktur batu kapur di dasar laut. Ia melibatkan usaha melindungi keseluruhan rangkaian kehidupan marin yang menjadi sumber makanan, ekonomi dan kesejahteraan manusia.

Sempena pelbagai sambutan berkisar marin yang diraikan pada Jun, masyarakat perlu melihat lautan sebagai warisan bersama yang wajib dipelihara. Apa yang berlaku kepada terumbu karang hari ini akan menentukan keadaan lautan pada masa hadapan.

Sekiranya usaha pemuliharaan terus diperkukuh dan tindakan menangani perubahan iklim dipergiatkan, masih ada harapan untuk memastikan generasi akan datang dapat mewarisi lautan yang sihat, kaya dengan biodiversiti dan terus menjadi sumber kehidupan kepada manusia serta alam sejagat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.