
PUTRAJAYA, 15 Jun – Pengamal media perlu terus mengekalkan integriti dan tanggungjawab dalam penyampaian maklumat meskipun berdepan tekanan menghasilkan kandungan yang pantas serta berpotensi menjadi tular, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
- Imbangan antara kepantasan penyampaian dan prinsip kewartawanan etika perlu dijaga.
- Proses semakan fakta dan perspektif pelbagai mesti diteruskan, bukan dikorbankan untuk capaian tinggi.
- Dialog industri, akademik dan pihak berkepentingan penting untuk kurangkan keperluan kawal selia kerajaan.
- Badan profesional mesti perkasakan latihan dan standard etika bagi memelihara kebebasan media serta kepercayaan awam.
Beliau berkata, cabaran itu semakin ketara dalam landskap media yang kini didominasi platform digital dan media sosial, sekali gus menuntut pengamal media mengimbangi keperluan menyampaikan maklumat dengan cepat tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan beretika.
Menurutnya, proses semakan fakta, mendapatkan pandangan pelbagai pihak serta memastikan laporan yang seimbang tidak boleh diketepikan semata-mata untuk mengejar jumlah tontonan atau kadar capaian yang tinggi.
“Kita perlu mengekalkan tanggungjawab dan integriti dalam peranan yang dimainkan media. Jadi, saya faham cabaran ini bukan kecil, sebaliknya sangat besar.
“Sebab itu dialog seperti ini amat penting melibatkan industri, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), supaya kawal selia oleh kerajaan dapat diminimumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Industri Media bertajuk “Mengimbangi Viraliti dan Tanggungjawab: Kewartawanan, Kepantasan, Kepercayaan dan Impak” anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan sokongan MCMC di sini, hari ini.
Teo menambah, badan profesional media juga perlu terus memainkan peranan dalam memperkasa latihan serta memperkukuh standard etika kewartawanan bagi memastikan kebebasan media dapat dipelihara.
Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap media kekal terpelihara dalam era penyebaran maklumat yang semakin pantas.