KBS akan tambah Dana Sukan Komuniti Pulau Pinang, perkasa pembangunan bakat akar umbi

Foto ihsan FB Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 15 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menambah peruntukan Dana Sukan Komuniti bagi Pulau Pinang susulan kejayaan negeri itu memanfaatkan sepenuhnya dana sedia ada dalam memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggunaan dana sedia ada oleh kerajaan negeri dan JBSN Pulau Pinang menunjukkan impak positif terhadap pembangunan sukan komuniti.
  • Dana dianggap penting untuk mengenal pasti serta membangunkan lebih ramai bakat baharu dan atlet berpotensi.
  • Kementerian memuji Exco negeri dan JBSN yang proaktif menggunakan serta memanfaatkan dana untuk pembangunan sukan komuniti.
  • Dana Sukan Komuniti adalah inisiatif KBS untuk memperkasakan penyertaan masyarakat dan mencungkil bakat baru; KBS pernah meluluskan RM800,000.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penambahan dana berkenaan penting bagi memastikan lebih ramai bakat baharu dan atlet berpotensi dapat dikenal pasti serta dibangunkan.

Beliau berkata, penggunaan dana sedia ada oleh kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Pulau Pinang menunjukkan impak positif terhadap pembangunan sukan komuniti.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Exco negeri dan juga JBSN yang begitu proaktif menggunakan serta memanfaatkan dana tersebut untuk pembangunan sukan di peringkat komuniti.

“Sebab itu saya telah bersetuju untuk menambah Dana Sukan Komuniti bagi negeri Pulau Pinang. Penambahan ini akan disalurkan melalui JBSN dan jumlah peruntukan akan diumumkan kemudian. Langkah ini bagi memastikan atlet dapat dilahirkan di peringkat akar umbi dan komuniti itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, di sini.

Sebelum ini, KBS telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi pelaksanaan Dana Sukan Komuniti di Pulau Pinang.

Dana ini merupakan antara inisiatif KBS untuk memperkasakan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi, selain menjadi platform mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.