
KUALA LUMPUR ,14 Jun – Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) sedang memantau rapi perkembangan fenomena El Nino yang dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan berterusan sehingga awal tahun 2027.
- Fenomena dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering, terutamanya sepanjang Monsun Barat Daya.
- Potensi pengurangan hujan meningkatkan risiko kekurangan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.
- MET Malaysia memperkukuh penyampaian amaran cuaca, mengeluarkan ramalan risiko kebakaran tujuh hari, ramalan jerebu dan sokongan operasi pembenihan awan.
Menurut MET Malaysia, fenomena itu dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, khususnya sepanjang Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 14 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September depan.
Keadaan tersebut berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.
“Bagi menghadapi situasi berkenaan, MET Malaysia telah memperkukuhkan penyampaian maklumat cuaca dan amaran awal kepada kerajaan, agensi berkaitan serta orang ramai.
“Sehingga Jun tahun ini, lebih 70 sesi taklimat, mesyuarat dan program libat urus berkaitan cuaca panas dan kering telah dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
“Antara sesi utama yang diadakan termasuk taklimat kepada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Jabatan Pertanian Malaysia serta pembentangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, MET Malaysia turut menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari ke hadapan, mengeluarkan ramalan jerebu serta bersedia membantu pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan sekiranya diperlukan dan keadaan cuaca mengizinkan.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan laman sesawang rasmi MET Malaysia.
MET Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan maklumat cuaca yang tepat dan tepat pada masanya bagi membantu negara membuat persediaan awal dalam menghadapi risiko cuaca ekstrem.