
KOTA BELUD, 14 Jun – Seorang lelaki yang dilaporkan hanyut ketika menjalankan aktiviti riadah di Sungai Tambatuon, dekat D’Lyna Lodge, Jalan Tamparuli-Ranau, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.
- Mangsa dikenalpasti sebagai Abner Lasmel, 24.
- Ditemukan orang awam sekitar 7.00 pagi pada hari kedua operasi SAR.
- Ditemukan kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
- Mayat disahkan polis, dikeluarkan pasukan bomba menggunakan pengusung dan diserahkan kepada PDRM; operasi SAR lapan anggota ditamatkan 10.20 pagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, mangsa, Abner Lasmel, 24, ditemukan orang awam sekitar 7.00 pagi pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Mangsa ditemukan kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan pada petang Sabtu.
“Mayat mangsa disahkan oleh pihak polis sebelum dibawa keluar pasukan bomba menggunakan pengusung dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Operasi SAR yang disertai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud ditamatkan pada pukul 10.20 pagi.