
BEIRUT, 14 Jun – Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan jumlah korban akibat serangan Israel sejak 2 Mac meningkat kepada 3,756 orang, manakala 11,632 lagi cedera ketika serangan udara dan bedilan merentasi negara itu terus berlaku.
- Tiga lagi terbunuh, termasuk ketua tempatan Ali Badih di bandar Rihan, Jezzine.
- IDF menyerang lebih 70 lokasi infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan Lubnan, menyasarkan pelancar roket dan struktur pertahanan.
- Beberapa anggota Hezbollah terbunuh; gerakan itu membalas dengan serangan dron ke atas kenderaan tentera Israel.
Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), terbaharu tiga lagi terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan pada Sabtu.
Antara yang terkorban ialah Mukhtar atau Ketua Tempatan Bandar Rihan, Ali Badih, yang maut dalam satu serangan Israel di bandar itu di daerah Jezzine.
Pada hari sama, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah menyerang lebih 70 lokasi infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Sasaran tersebut turut meyasarkan pelancar roket dan struktur yang digunakan Hezbollah sebagai pertahanan.
Selain itu beberapa anggota Hezbollah yang berada di kawasan operasi tenteranya di selatan Lubnan turut terbunuh akibat serangan itu.
Sebagai tindak balas, Hezbollah turut melancarkan serangan dron ke atas kenderaan tentera Israel pada hari yang sama.
Arahan perpindahan yang dikeluarkan IDF bukan sesuatu yang baharu, ia sering mendahului serangan yang akhirnya turut menjejaskan kawasan perlindungan dan penempatan penduduk yang berpindah.
Berkenaan dakwaan individu atau sesiapa sahaja yang berada berhampiran aset Hezbollah akan mengancam nyawa dilihat sebagai naratif berulang rejim Zionis Israel untuk meneruskan serangan sama seperti yang dilakukan ke atas Palestin.- REUTERS