Festival kebudayaan eratkan hubungan Malaysia – Jepun

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun baru-baru ini membuktikan hubungan Malaysia dan Jepun kini berkembang menjadi lebih komprehensif, dinamik serta strategik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah sebagai pemimpin Malaysia pertama menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo dan ucaptama di Forum Nikkei.
  • Kerjasama Malaysia-Jepun kini merangkumi pendidikan, perniagaan, sains, teknologi, kecerdasan buatan dan industri kreatif termasuk anime.
  • Pendidikan kekal asas penting hubungan sejak pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur, membuka peluang pembelajaran dan pengalaman di Jepun.
  • Hanabi Taikai 2026 di UM mengetengahkan tradisi, seni persembahan dan budaya popular, menjadi medium berkesan pertukaran budaya Malaysia-Jepun.

Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin Malaysia pertama menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo sebelum menyampaikan ucaptama pada Forum Nikkei Ke-31 sempena lawatan tersebut.

“Jika kita membaca kenyataan bersama itu, kita dapat memahami bagaimana hubungan Malaysia dan Jepun telah berkembang menjadi lebih menyeluruh, bertenaga dan strategik,” katanya.

Beliau berucap pada Hanabi Taikai 2026, festival kebudayaan Jepun anjuran Universiti Malaya (UM).

Katanya, kerjasama antara kedua-dua negara kini merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, perniagaan, sains dan teknologi, selain sektor baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan industri kreatif termasuk anime.

Shikata turut menegaskan bahawa pendidikan kekal menjadi asas penting hubungan Malaysia dan Jepun sejak pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur yang membuka peluang kepada ribuan rakyat Malaysia menimba ilmu dan pengalaman di negara itu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan UM sebagai antara institusi yang memainkan peranan besar dalam memperkukuh hubungan akademik kedua-dua negara menerusi pelbagai program pengajian Jepun, penyelidikan bersama dan pertukaran pelajar.

Hanabi Taikai 2026 yang memasuki edisi keempat penganjurannya, menjadi platform yang mengetengahkan tradisi, seni persembahan, budaya popular dan adat festival Jepun, sekali gus dilihat sebagai medium berkesan dalam memperluaskan pertukaran budaya antara Malaysia dan Jepun.

Menurutnya, pertukaran budaya melalui bahasa, muzik, makanan, seni tradisional, anime dan manga memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman serta persahabatan antara masyarakat kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.