
KUALA PILAH, 14 Jun – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus mempergiat usaha mempromosikan filem tempatan kepada masyarakat menerusi penganjuran tayangan wayang pacak di seluruh negara.
- Industri filem tempatan menunjukkan perkembangan positif dengan sambutan penonton yang memberangsangkan.
- Terdapat trend peningkatan penonton untuk filem Malaysia berbanding filem antarabangsa.
- Usaha membawa filem dan artis ke luar bandar untuk merapatkan hubungan dengan penonton di kawasan itu.
- Tayangan Gemencheh Boys dipersembahkan, pengarah Eric Ong dan pelakon Pekin Ibrahim turut hadir; program bersama J-KOM dan JAPEN.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib memaklumkan, industri filem tempatan kini menunjukkan perkembangan yang semakin positif apabila filem-filem berkenaan terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.
“Kita nampak ada trend terbaharu yang ramai rakyat di luar sana memang meminati dan pergi menonton filem tempatan. Sekiranya kita bandingkan antara filem antarabangsa dan filem tempatan, terdapat peningkatan jumlah penonton untuk menonton filem Malaysia.
“Sekarang kita usahakan untuk membawa filem-filem ini ke luar bandar dan juga artis-artis terlibat untuk mereka jalinkan hubungan yang lebih rapat dengan penonton di kawasan itu,” katanya.
Beliau sebelum itu menghadiri Program Hasrat Madani di sini.
Pada program berkenaan, orang ramai turut disajikan dengan tayangan filem Gemencheh Boys, sebuah karya inspirasi daripada kisah benar sekumpulan pelajar dan guru dari Negeri Sembilan yang mencipta kejayaan dalam sukan kriket.
Turut hadir pengarah dan pelakon filem berkenaan, Eric Ong dan Pekin Ibrahim.
Program itu dianjurkan menerusi kerjasama FINAS bersama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta agensi-agensi berkaitan dalam usaha mempromosikan filem tempatan kepada masyarakat.