
KULAI, 14 Jun – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM210 juta menerusi Biasiswa Anak eKasih (BAeK PTPTN) yang akan memanfaatkan 10,000 pelajar miskin dan miskin tegar pada tahun ini.
- PTPTN memperuntukkan RM210 juta BAeK untuk manfaat 10,000 pelajar miskin dan miskin tegar tahun ini.
- Kelayakan: berdaftar eKasih, mengikuti Diploma atau Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di IPTA, permohonan melalui myPTPTN dan pinjaman diluluskan dahulu.
- Biasiswa: RM4,750 setahun (Diploma), RM6,180 (Ijazah Sastera), RM6,650 (Ijazah Sains); setakat 31 Mei 402 penerima, peruntukan RM8.79 juta.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata jumlah itu meningkat berbanding 5,800 pelajar dengan peruntukan RM120 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Belanjawan 2026, pada Oktober tahun lepas.
“Menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma PTPTN ini telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin,” katanya pada sidang media selepas sesi penyerahan BAeK PTPTN kepada dua penerima di Johor.
Hadir sama Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Johor Mazni Ruslan.
Zambry berkata pelajar yang terpilih berdaftar dalam pangkalan data eKasih serta mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mulai 1 Jan lepas.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menyeru kepada orang ramai serta IPTA agar turut memaklumkan kepada PTPTN sekiranya terdapat pelajar daripada golongan berkenaan yang layak menerima manfaat di bawah inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, Norliza berkata setakat 31 Mei lepas, BAeK PTPTN telah memanfaatkan 402 orang pelajar di seluruh negara dengan jumlah peruntukan berjumlah RM8.79 juta semenjak mula diperkenalkan pada tahun ini.
Beliau berkata biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar tempatan berumur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh permohonan dan kursus diikuti mendaftar dengan PTPTN, mempunyai akaun Simpan SSPN yang aktif, tiada tunggakan pinjaman dan baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan tidak kurang daripada satu semester.
Katanya, pelajar akan ditawarkan biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi Diploma dan RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sastera) dan RM6,650 setahun bagi ljazah Sarjana Muda (Sains)
Menurutnya, permohonan pinjaman PTPTN perlu dibuat melalui aplikasi web myPTPTN dan pinjaman PTPTN akan diluluskan terlebih dahulu, bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar sebelum ditawarkan BAeK PTPTN sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
Pelajar kemudian akan dimaklumkan melalui e-mel dan mesej notifikasi di aplikasi myPTPTN serta perlu memulangkan dokumen tawaran secara fizikal di mana-mana kaunter PTPTN dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat tawaran biasiswa, sekali gus menjelaskan pembayaran biasiswa diberikan pada setiap semester.
Terdahulu, Alin Nairien Wong Mohd Allif Wong, 20, dan Muhammad Amar Khoo Arif Khoo, 21 menzahirkan kelegaan dan kesyukuran selepas terpilih menerima manfaat BAeK PTPTN, yang disifatkan mampu meringankan beban kewangan keluarga serta membantu mereka meneruskan pengajian dengan lebih tenang.
Alin Nairien berasal daripada Pekan Tanjung Sedili dekat Kota Tinggi dan mengikuti Diploma Pengurusan Acara di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) berkata dia bergantung kepada pendapatan ibu dan abang sulung setelah kematian bapanya sejak 2019.
“Biasiswa ini meringankan beban mama dan abang. Saya pun rasa lebih bersemangat untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan membahagiakan mereka suatu hari nanti,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Muhammad Amar yang tinggal di Taman Putri, di sini pula menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan PTPTN atas bantuan yang diterimanya.
Biasiswa itu katanya dapat mengurangkan bebanan kewangan yang perlu ditanggung bapanya untuk menyaranya dan dua adik beradik lain.
Penyerahan BAeK PTPTN akan diteruskan pada minggu depan dengan melibatkan dua penerima dari Melaka. – BERNAMA