
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Program Advokasi Pematuhan Lalu Lintas dilancar Polis Kuala Lumpur yang menyasarkan 122 sekolah menengah di ibu negara sebagai usaha meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya serta mencegah gejala sosial.
- Datuk Fadil Marsus berkata pematuhan undang-undang jalan raya perlu diterapkan sejak usia muda sebagai asas disiplin dan kepatuhan undang-undang.
- Sekolah menjadi sasaran utama supaya pelajar faham benar dan salah serta sedar implikasi kesalahan seperti lumba haram, penyalahgunaan dadah dan gejala sosial lain.
- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial turut melaksanakan program kesedaran di sekolah.
- Jumlah pegawai dan anggota ditambah bagi memperkukuh penguatkuasaan, termasuk pemeriksaan mengejut berkala dan berstruktur terhadap pelajar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata pematuhan terhadap undang-undang jalan raya perlu diterapkan sejak usia muda kerana ia menjadi asas kepada pembentukan disiplin dan kepatuhan terhadap undang-undang yang lebih luas.
“Sekolah menjadi sasaran utama program ini kerana kita mahu pelajar memahami perkara yang betul dan salah serta menyedari implikasi sekiranya terlibat dalam kesalahan seperti lumba haram, penyalahgunaan dadah dan gejala sosial lain,” katanya.
Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai di sini.
Beliau turut memaklumkan pelbagai bahagian operasi Polis Kuala Lumpur termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial akan turut melaksanakan program kesedaran di sekolah selepas ini.
Dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan, jumlah pegawai dan anggota yang terlibat dalam program di sekolah akan ditambah berbanding sebelum ini.
“Jika sebelum ini sesebuah sekolah mempunyai dua atau tiga anggota yang terlibat, jumlah itu akan ditingkatkan bagi memastikan kehadiran anggota polis lebih menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata pemeriksaan mengejut terhadap pelajar akan dilaksanakan secara berkala dan berstruktur mengikut kesesuaian.