
BATU PAHAT, 12 Jun – Kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan di Masjid Pekan Seri Medan, Batu Pahat, Johor menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) berjaya disiapkan pada 16 Mac lalu dan diserahkan hari ini.
- Pembinaan blok tambahan pelbagai guna seluas 45 meter persegi lengkap dengan sistem mekanikal dan elektrikal.
- Pembinaan ruang terbuka berbumbung sebagai kawasan tambahan baharu beserta sistem pendawaian elektrik teratur.
- Menurap dataran belakang masjid untuk memudahkan urusan logistik dan pergerakan jemaah.
- Program KAM 2026 akan diperluaskan ke Kedah dan Perlis bermula September dengan fokus naik taraf kemudahan komuniti.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Julina Johan berkata kerja-kerja berkenaan disiapkan dalam tempoh 29 minggu bermula pada 25 Ogos tahun lalu menerusi peruntukan sebanyak RM478,200.
Tiga skop utama penambahbaikan dilaksanakan seperti pembinaan blok tambahan baharu bagi ruang pelbagai guna, seluas 45 meter persegi, dengan dilengkapi kemudahan sistem mekanikal dan elektrikal.
Pembinaan ruang terbuka berbumbung sebagai kawasan tambahan baharu berserta sistem pendawaian elektrik yang teratur.
Selain, menurap dataran kejat di seluruh ruang belakang masjid bagi memudahkan urusan logistik dan pergerakan jemaah.
“Sebenarnya, peringkat perbincangan telah bermula seawal tahun lalu dan saya mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan projek serta komuniti setempat.
“Apa yang kami usahakan ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak.
“Selain itu, dana tambahan yang digunakan bukan sahaja dimanfaatkan sepenuhnya, malah turut memberi peluang kepada persatuan NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang memerlukan sokongan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti berteraskan persatuan,” katanya.
Beliau ditemui semasa Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Tambahan Blok Baharu dan Kerja-Kerja Berkaitan di Masjid Pekan Seri Medan di sini hari ini.
Sebelum ini, JaPen turut melaksanakan kerja-kerja menaik taraf fasiliti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, Batu Pahat, secara berperingkat sehingga 24 November lalu dengan kos sebanyak RM826,306, sekali gus menyiapkan sepenuhnya semua projek KAM di kawasan itu.
Program KAM 2026 menerusi JAPEN akan diperluaskan ke Kedah dan Perlis dengan fokus kepada usaha menaik taraf kemudahan komuniti yang digunakan secara bersama, dan dijangka bermula pada September ini.