
PUTRAJAYA, 11 Jun – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, yang didakwa mengganggu ketenteraman dan operasi di Kementerian Komunikasi serta mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap kementerian menerusi beberapa siri perhimpunan di premis berkenaan.
- Ketua pengarah berkata perhimpunan di Menara Komunikasi dan menghalang pintu utama boleh menjejaskan kelancaran urusan penjawat awam.
- Laporan dibuat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung halangan kepada penjawat awam dan provokasi.
- J-KOM akan membuat laporan kepada MCMC mengenai dakwaan penyalahgunaan rangkaian komunikasi dan menyeru penggunaan saluran betul serta berhemah.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya oleh ketua pengarah jabatan itu, Mohd Hisyamuddin Ghazali susulan beberapa kenyataan terbuka yang dibuat individu terbabit, termasuk dakwaan kononnya berlaku campur tangan kementerian dalam isu sekatan akaun media sosial miliknya.
Mohd Hisyamuddin berkata, tindakan berhimpun di Menara Komunikasi dan mengganggu laluan utama masuk ke bangunan itu boleh menjejaskan kelancaran urusan penjawat awam yang bertugas.
“Tindakan sedemikian memberikan isyarat yang tidak baik kerana ia boleh mengganggu kelancaran operasi harian serta urusan ribuan penjawat awam yang keluar masuk melalui pintu utama bangunan tersebut.
“Kita perlu berlaku adil kepada semua pihak dan itulah tanggungjawab penjawat awam dalam melaksanakan tugas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini, hari ini.
Beliau berkata, kehadiran di premis kerajaan dengan tujuan mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi serta menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam tidak boleh dipandang ringan.
Laporan polis itu dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi yang boleh mengganggu keamanan.
Mengulas dakwaan berkaitan sekatan akaun media sosial, beliau berkata setiap platform mempunyai prosedur operasi dan garis panduan tersendiri yang perlu dipatuhi oleh pengguna.
“Semua akaun media sosial tertakluk kepada prosedur dan peraturan yang ditetapkan. Jika sesuatu akaun dikenakan tindakan berdasarkan peraturan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau Kementerian Komunikasi tidak wajar dipersalahkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata J-KOM juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini berhubung dakwaan penyalahgunaan rangkaian komunikasi bagi tujuan gangguan dan provokasi.
Dalam pada itu, J-KOM menyeru semua pihak supaya menggunakan saluran yang betul dan berhemah dalam mengemukakan pandangan, aduan atau mendapatkan penjelasan berhubung sesuatu isu.
Mohd Hisyamuddin menegaskan bahawa hak bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan yang berpotensi mengelirukan masyarakat, mencemarkan reputasi individu atau institusi serta menjejaskan ketenteraman awam.
Sebelum ini, Albert Tei bersama sekumpulan pencipta kandungan melancarkan protes dengan mengadakan bantahan duduk di kawasan lobi Kementerian Komunikasi susulan dakwaan sekatan terhadap akaun TikTok milik ahli perniagaan terbabit.
Kumpulan berkenaan mendakwa sekatan dibuat secara tidak adil dan menuntut penjelasan berhubung tindakan dikenakan terhadap akaun media sosial itu.