
KLUANG, 10 Jun- Remaja yang disyaki terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Renggam-Simpang Renggam, di sini, pada minggu lalu hingga meragut nyawa empat sekeluarga, dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu didakwa di mahkamah.
- Dua kenderaan dipercayai dipandu melulu terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan lain.
- Insiden mengakibatkan kematian empat sekeluarga; seorang lagi pemandu meninggal ketika menerima rawatan di hospital.
- Suspek direman sejak 2 Jun di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan, kemudian direman semula mengikut Seksyen 302.
Ketika ini, tempoh sambung reman terhadap suspek berusia 19 tahun yang dilanjutkan dua hari pada Isnin lalu sudah berakhir semalam.
Ketua Polis Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk memberi jaminan terhadap suspek sehingga siasatan lengkap dijalankan.
Suspek direman sejak 2 Jun lalu sebelum reman disambung mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, sebaik tempoh reman lanjutan berakhir, polis menahan semula suspek pada Khamis lalu dan direman semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 1 Jun itu, dua buah kereta termasuk kenderaan dipandu suspek dipercayai dalam keadaan melulu dan berbahaya sebelum terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan lain.
Insiden tersebut mengakibatkan kematian empat sekeluarga iaitu Aiman Rashid, 36, Nor Azlina Abd Latif, 33, Nur Airish Syifa Sidek, 10, dan Semek Mat Soh, 73.
Seorang lagi pemandu yang disyaki turut terlibat dalam insiden pemanduan berbahaya itu turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.