EU nafi peraturan digital punca pelancaran Siri AI tertangguh

Thomas Regnier, Jurucakap Hal Ehwal Digital EU / AFP

BRUSSELS, 9 Jun– Kesatuan Eropah (EU) menolak dakwaan Apple bahawa peraturan digital blok itu menjadi punca kelewatan pelancaran Siri AI di Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Apple melancarkan versi Siri AI baharu dengan interaksi lebih semula jadi, capaian merentas aplikasi dan pelaksanaan tugasan.
  • DMA tidak menghalang Apple memperkenalkan produk baharu di EU; Regnier menegaskan keputusan pelancaran adalah tanggungjawab Apple.
  • Permohonan pengecualian Apple ditolak Suruhanjaya Eropah kerana ia boleh memberi kelebihan tidak adil kepada Siri berbanding pesaing.

Jurucakap Hal Ehwal Digital EU, Thomas Regnier berkata, keputusan untuk tidak menawarkan ciri baharu itu di Eropah adalah tanggungjawab Apple sendiri.

“Keputusan untuk tidak melancarkan Siri AI di EU adalah keputusan Apple.

Tiada apa dalam Akta Pasaran Digital (DMA) yang menghalang Apple memperkenalkan produk baharu di EU,” katanya.

Apple sebelum ini memaklumkan Siri AI tidak dapat ditawarkan di Eropah kerana perlu mematuhi peraturan persaingan digital EU bawah DMA.

Syarikat itu memperkenalkan versi baharu pembantu suara Siri pada Isnin dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkat.

Ia termasuk interaksi secara lebih semula jadi, mengakses maklumat merentas aplikasi dan melaksanakan pelbagai tugasan.

Bagaimanapun, Regnier berkata, Apple perlu memastikan produknya mematuhi keperluan kebolehoperasian yang ditetapkan EU.

“Peraturan itu mewajibkan syarikat teknologi utama membuka akses kepada produk dan perkhidmatan pesaing bagi memastikan persaingan yang lebih adil.

Apple sebelum ini memohon pengecualian daripada syarat berkenaan, namun permohonan itu tidak diluluskan Suruhanjaya Eropah,” ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan, pengecualian tersebut tidak boleh diberikan kerana ia berpotensi memberi kelebihan kepada Siri berbanding produk pesaing lain.

Tahun lalu, Apple turut menggesa supaya akta berkenaan dimansuhkan dan pernah menyalahkan peraturan EU atas kelewatan pelancaran beberapa ciri lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.