Rusia tolak peranan Eropah dalam rundingan damai Ukraine

Dmitry Peskov, Jurucakap Kremlin / REUTERS

MOSCOW, 9 Jun– Rusia menyifatkan Eropah belum bersedia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik dengan Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia tidak menerima usaha pengantaraan yang meletakkan syarat terhadap Rusia sejak awal rundingan.
  • Proses pengantaraan kini tergendala walaupun perunding AS Witkoff dan Jared Kushner masih berkomunikasi dengan kedua pihak.
  • Tiada perancangan panggilan telefon antara Putin dan Trump; Kremlin belum terima maklumat mengenai perbualan Zelenskyy dengan perunding AS.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Moscow tidak boleh menerima sebarang usaha pengantaraan yang meletakkan syarat kepada Rusia sejak awal proses rundingan.

“Pada pandangan kami, negara-negara Eropah masih jauh daripada bersedia untuk menjadi orang tengah.

Mereka lebih cenderung memberi tumpuan kepada usaha meneruskan perang berbanding rundingan damai,” katanya.

Menurut Peskov, proses pengantaraan bagi konflik Ukraine ketika ini masih tergendala.

Bagaimanapun, perunding Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan Jared Kushner masih meneruskan hubungan dengan kedua-dua pihak menerusi saluran komunikasi sedia ada.

Peskov turut memaklumkan, tiada perancangan setakat ini untuk mengadakan perbualan telefon antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden AS, Donald Trump.

Jelas beliau, sebarang perbualan antara kedua-dua pemimpin boleh diatur dengan cepat jika perlu, namun ia memerlukan persediaan rapi terlebih dahulu.

Pada Isnin, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, beliau mengadakan perbualan yang positif dengan Witkoff dan Kushner.

Pada masa sama, memuji kesediaan mereka membantu mencari penyelesaian kepada konflik itu dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Peskov bagaimanapun berkata, Kremlin belum menerima sebarang maklumat daripada pihak AS berhubung kandungan perbualan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.