Sultan Perak berkenan rasmi SMTDR Lenggong

Penubuhan rangkaian sekolah tahfiz, komitmen berterusan Perak dalam melahirkan generasi ulul albab

LENGGONG, 9 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong yang menjadi antara institusi pendidikan tahfiz utama di Perak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keberangkatan Raja Permaisuri, Raja Muda dan ahli kerabat diraja serta kehadiran pemimpin negeri menyerikan majlis perasmian.
  • Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM17 juta 2026 bagi operasi, emolumen, latihan guru, makanan pelajar dan penyelenggaraan lima SMTDR.
  • SMTDR Lenggong beroperasi di tapak 78,460 meter persegi sejak 3 Ogos 2020, menempatkan 176 pelajar dan 43 tenaga pengajar.

Majlis perasmian di Kampung Tersusun Bukit Sapi, di sini turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sultan Nazrin berkenan melafazkan perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan rasmi sekolah.

Baginda kemudian berkenan melawat pameran sebelum menghadiri majlis santapan dan meninjau kemudahan sekolah tahfiz itu.

Dalam sembah ucapan, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani berkata kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM17 juta bagi tahun kewangan 2026 untuk pengurusan lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.

“Peruntukan meliputi operasi sekolah, emolumen dan latihan guru, makanan pelajar, kebajikan asrama serta kerja penyelenggaraan. Usaha pembangunan pendidikan tahfiz negeri bermula pada tahun 2009 menerusi pelaksanaan kelas perintis Program Tahfiz di Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah dan Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah.

“SMTDR Lenggong pula memulakan operasi pada 3 Januari 2012 di Sekolah Rendah Agama Rakyat Madrasah As-Syakirin, Kampung Lenggong sebelum berpindah ke tapak tetap di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada 3 Ogos 2020.

“Selepas hampir sembilan tahun beroperasi di tapak sementara, sekolah itu kini beroperasi di kawasan seluas 78 ribu 460 meter persegi yang dilengkapi kemudahan pembelajaran, hafazan dan asrama yang lebih sempurna,”katanya.

Ketika ini, SMTDR Lenggong menempatkan 176 pelajar lelaki dengan sokongan 43 tenaga pengajar.

Selain Lenggong, empat lagi SMTDR di Perak masing-masing di Pulau Pangkor, Gunung Semanggol, Sungai Lesung dan Ipoh.

Penubuhan rangkaian sekolah tahfiz, komitmen berterusan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi ulul albab yang menguasai ilmu al-Quran, cemerlang akademik serta berakhlak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.