
SAMARAHAN, 9 Jun – Dua maut seorang parah selepas kereta dinaiki tiga beradik merempuh sebuah lori di Jambatan Batang Sadong, di sini awal pagi tadi.
- Insiden berlaku sekitar pukul 6.30 pagi, disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William.
- Kereta merempuh bahagian belakang lori rosak yang diparkir di bahu jalan tanpa sebarang isyarat kerosakan.
- Penghuni kereta termasuk Nurhidayah Ramli, 17, dan Nurfadzilah Ramli, 18; kedua jenazah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
- Pemandu abang kedua, Harundin Ramli, 30, mengalami kecederaan parah, dibawa ke Hospital Simunjan; kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Barry William, mengesahkan insiden sekitar pukul 6.30 pagi itu.
“Dalam kejadian tersebut kereta yang dinaiki Nurhidayah Ramli, 17 dan Nurfadzilah Ramli, 18 yang datang dari arah Sebuyau ke Samarahan telah merempuh belakang sebuah lori yang diparkir di tepi jalan.
“Siasatan mendapati lori yang rosak yang diparkir di bahu jalan itu tidak meletakkan sebarang isyarat kerosakan mengakibatkan kereta yang dipandu abang kedua mangsa, Harundin Ramli tidak sempat mengelak,” kata Barry William ketika dihubungi RTM.
Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal di lokasi kemalangan manakala Harundin Ramli, 30 mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Simunjan.
Kedua-dua jenazah adik beradik yang dalam perjalanan ke sekolah itu telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat. Kes disiasat bawah seksyen 41, (1) akta pengangkutan jalan 1987.