
TAPAH, 9 Jun – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan hutan Gunung Batu Putih, di sini dibenarkan keluar dari Hospital Tapah kira-kira pukul 1.50 tengah hari tadi selepas keadaan kesihatannya semakin stabil.
- Jaslinda menerima rawatan selama tiga hari dan pulang bersama suaminya.
- Berkata dia sihat, akan pulang berehat, dan menghargai doa rakyat Malaysia.
- Memohon maaf atas kesulitan sepanjang operasi SAR dan berterima kasih kepada petugas kesihatan Hospital Tapah.
Jaslinda yang menerima rawatan selama tiga hari di hospital itu dilihat keluar bersama suaminya sebelum menaiki kenderaan untuk pulang ke rumah.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana mendoakan keselamatan saya. Saya sangat menghargai.
“Alhamdulillah saya sihat, selepas ini saya akan pulang ke rumah dan berehat. Kenyataan-kenyataan lain saya akan maklumkan kemudian,” katanya ketika ditemi pemberita selepas dibenarkan keluar Hospital Tapah.
Dalam pada itu, Jaslinda turut memohon maaf sekiranya telah menyusahkan banyak pihak sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan hutan Gunung Batu Putih.
Sebelum meninggalkan pekarangan hospital, Jaslinda turut merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang merawatnya sepanjang menerima rawatan.
“Terima kasih semua, minta maaf. Terima kasih Hospital Tapah, hospital terbaik,” katanya sebelum meninggalkan perkarangan Hospital Tapah.