
PETALING JAYA, 9 Jun – Data kredit yang dipercayai dan mudah diakses berupaya mengukuhkan keyakinan institusi kewangan serta meningkatkan capaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pembiayaan.
- Perolehan data yang lebih baik mengurangkan jurang maklumat dan membolehkan peruntukan kredit dijalankan dengan lebih cekap.
- Data tepat membantu pemberi pinjaman membezakan profil risiko, memberi PKS berprestasi peluang mendapatkan pembiayaan dengan terma lebih baik.
- Keterangkuman kewangan perlu mampan, berasaskan data dan selaras dengan amalan serta prinsip pengurusan risiko.
- Pelaksanaan bergantung pada ekosistem termasuk institusi kewangan, infrastruktur kredit, firma teknologi dan rangkaian nasihat; CTOS menghubungkan usahawan dengan pembiaya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perolehan data yang lebih baik membantu dalam mengurangkan jurang maklumat dan membolehkan peruntukan kredit yang lebih cekap.
”Secara praktikal, data yang lebih baik membolehkan pemberi pinjaman membezakan profil risiko dengan lebih tepat.
“Ini bermakna perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berprestasi baik mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan pembiayaan dengan syarat dan terma yang lebih baik,” katanya dalam ucaptama pada CTOS SME Biz Day 2026 di sini, hari ini.
Keterangkuman kewangan bukan mengenai peluasan akses kepada pembiayaan, semata-mata, sebaliknya memastikan ia kekal mampan, berasaskan data serta selaras dengan amalan dan prinsip pengurusan risiko.
Walaupun dasar kerajaan menetapkan hala tuju, pelaksanaan yang berkesan turut bergantung pada ekosistem yang lebih luas terdiri daripada institusi kewangan, penyedia infrastruktur kredit, firma teknologi dan rangkaian khidmat nasihat.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan terus mengamalkan pendekatan berhemat dan pragmatik, mengimbangi sokongan untuk pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab fiskal bagi memastikan intervensi dasar kekal berkesan dan mampan.
“Sesi libat urus kekal sebagai keutamaan. Platform seperti CTOS SME Biz Day 2026 memastikan dasar kekal berasaskan realiti yang dihadapi perniagaan dan maklum balas diambil kira dalam pelaksanaan,” katanya.
CTOS SME Biz Day 2026 menghimpunkan usahawan, penggubal dasar, institusi kewangan dan peneraju industri bagi membincangkan usaha-usaha menangani cabaran dan peluang yang dihadapi sektor berkenaan.
Selain persidangan utama, program sehari itu turut menganjurkan pameran perniagaan dan Pavilion Pembiayaan khusus untuk menghubungkan usahawan dengan institusi kewangan, agensi kerajaan, pembiaya alternatif dan penyedia khidmat nasihat perniagaan.