
KUALA LANGAT, 9 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan diesel secara haram berikutan serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Teluk Panglima Garang, di sini, semalam.
- Serbuan dilakukan sekitar pukul 5.00 petang menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu hasil risikan intensif dua minggu.
- Ditemui satu skid tank 30,000 liter berisi kira-kira 4,000 liter diesel dan beberapa peralatan pemindahan bahan api disita.
- Seorang penjaga premis tempatan ditahan untuk membantu siasatan; nilai barangan dirampas dianggarkan RM50,000.
- Op Tiris 4.0 Selangor merekodkan 2,794 pemeriksaan, 57 kes, sitaan RM2 juta dan subsidi diselamatkan RM265,000.
Serbuan kira-kira pukul 5.00 petang itu dilakukan menerusi ‘Op Tiris 4.0 Bersepadu’ hasil risikan intensif selama dua minggu oleh pihak berkuasa di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ aktiviti penyelewengan berkenaan.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak memiliki sebarang lesen atau permit yang sah untuk menyimpan barang kawalan berjadual di bawah akta berkaitan.
“Dalam serbuan itu, pihak kami menemui sebuah ‘skid tank’ berkapasiti 30,000 liter yang mengandungi kira-kira 4,000 liter cecair disyaki minyak diesel. Turut disita adalah beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kerja-kerja memindahkan bahan api tersebut.
“Seorang lelaki tempatan yang berada di lokasi dan dipercayai bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Muhamad Hanif berkata, nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM50,000, manakala nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan menerusi operasi itu adalah sekitar RM15,000.
Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian operasi bersepadu berkenaan, beliau mendedahkan bahawa bagi tempoh 16 Mac hingga 8 Jun lalu, ‘Op Tiris 4.0’ di peringkat negeri Selangor telah merekodkan sebanyak 2,794 pemeriksaan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 57 kes tindakan telah dikenakan tindakan melibatkan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM2 juta.
Ia sekali gus berjaya menyelamatkan subsidi negara berjumlah RM265,000 daripada terus tiris.