
ALOR GAJAH, 9 Jun – Seorang penganggur yang dipercayai terlibat dalam siri kecurian beg tangan di beberapa buah masjid di sekitar Alor Gajah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
- Tangkapan dibuat susulan rakaman CCTV yang tular di media sosial.
- Rakaman memaparkan suspek melarikan beg tangan jemaah wanita di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan; suspek dipercayai terlibat beberapa kes kecurian di rumah ibadat.
Perintah reman sehingga 12 Jun itu dikeluarkan terhadap suspek lelaki berusia 28 tahun berkenaan selepas ditahan pihak polis di kawasan Pegoh, di sini, kira-kira pukul 8.35 malam tadi (Isnin).
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Rakaman video yang tular itu memaparkan tindakan berani suspek melarikan beg tangan milik seorang jemaah wanita yang sedang khusyuk menunaikan solat di Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang, pada Sabtu lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menggunakan modus operandi yang sama dan terlibat dalam beberapa kes kecurian beg tangan lain di rumah ibadat sekitar daerah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.