Amang seksual dan miliki bahan lucah, guru mengaku tidak bersalah

Foto RTM

JOHOR BAHARU, 9 Jun – Seorang guru lelaki berusia 28 tahun mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan di sini hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar dan dua pertuduhan memiliki bahan lucah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga pertuduhan amang seksual didakwa dilakukan antara 26 Feb hingga 18 Ogos 2024 di tempat letak kereta taman permainan Masai.
  • Dua lagi pertuduhan amang seksual didakwa berlaku di lokasi sama antara 16 Mei dan 27 Ogos tahun lepas.
  • Pertuduhan dibawa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1).
  • Dalam prosiding lain, dia juga didakwa memiliki bahan lucah pada 21 Mei; mahkamah membenarkan ikat jamin keseluruhan RM19,000.

Tertuduh, Mohamad Amirul Firdaus Awang Meran, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar, Hakim Madihah Zainol dan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Di hadapan Hakim Nor Aziati, tertuduh berdepan tiga pertuduhan amang seksual yang didakwa dilakukan antara 26 Februari hingga 18 Ogos 2024 di kawasan tempat letak kenderaan sebuah taman permainan di Masai, di sini.

Sementara itu, di hadapan Hakim Madihah, dia turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan amang seksual yang didakwa dilakukan di lokasi yang sama antara 16 Mei dan 27 Ogos tahun lepas.

Bagi kesemua kesalahan amang seksual itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Mohamad Amirul Firdaus turut menafikan dua pertuduhan memiliki bahan lucah di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang didakwa dilakukan pada 21 Mei lepas.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM19,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin, S. Manushi dan Sarah Siti Aisyah, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Zafirah Norizan, Ungku Ahmad Hafiz Ungku Fathil dan Asyikin Shafiqah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.