Lelaki Thailand ditahan bersama cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom’

Suspek warga Thailand berusia 21 tahun ditahan bersama cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom’ di Rantau Panjang pada Isnin

RANTAU PANJANG, 9 Jun- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom’ dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Gual Periok, di sini, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan dilakukan oleh unit Risik dan Task Force Batalion 8 PGA bersama BSJN serta BSJ IPD Pasir Mas kira-kira pukul 5.45 petang.
  • Operasi dilaksanakan hasil risikan awal berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan terbabit.
  • Suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan didapati dilahirkan di Thailand, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri Malaysia.
  • Suspek mendakwa memperoleh bekalan melalui individu kenalan media sosial, dihantar kurier dan dijual secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat.

Serbuan kira-kira pukul 5.45 petang itu dilakukan oleh Risik dan Task Force Batalion 8 PGA dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Komander Briged Tenggara, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan awal berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan terbabit.

“Hasil serbuan, seorang lelaki berada di dalam rumah berkenaan telah diperiksa namun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemukan beberapa botol mengandungi cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom’ selain wang tunai.

Antara rampasan ialah tiga botol pelbagai jenis mengandungi cecair disyaki dadah dengan anggaran keseluruhan kira-kira 48 mililiter serta wang tunai RM600.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,000,” katanya.

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan dan turut disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil semakan mendapati suspek dilahirkan di Thailand dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri Malaysia,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti penjualan cecair berkenaan sejak tahun 2025 secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat.

“Suspek turut mendakwa memperoleh bekalan daripada seorang individu dikenali melalui media sosial sebelum dihantar melalui perkhidmatan kurier dan dijual pada harga lebih tinggi,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.