Jaslinda semakin pulih, dibenarkan keluar hospital beberapa hari lagi

Jaslinda (tengah) bersama Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim (dua dari kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi (tiga dari kanan) / Foto RTM

TAPAH, 8 Jun – Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, kini berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital memantau rapat keadaan fizikal dan emosi Jaslinda sepanjang menerima rawatan di wad.
  • Berat badan susut hampir 10 kilogram; mengalami beberapa luka dan kecederaan pada kaki tetapi boleh makan serta berkomunikasi.
  • Dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari jika tiada komplikasi; beliau mahu cepat sembuh untuk konvokesyen anak dan kembali bekerja.

Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, mangsa semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi sekiranya tiada sebarang komplikasi kesihatan.

Menurut beliau, pihak hospital masih menjalankan pemantauan rapi terhadap keadaan Jaslinda, termasuk aspek fizikal dan emosi sepanjang menerima rawatan di wad.

Katanya, berat badan Jaslinda Saludin susut hampir 10 kilogram selepas 14 hari hilang.

“Pada masa ini, keadaan beliau stabil. Terdapat beberapa luka pada badan akibat berada dalam hutan untuk tempoh yang lama selain kecederaan pada kaki.

Bagaimanapun, beliau berada dalam keadaan yang sangat baik, boleh makan, bercakap dan berkomunikasi seperti biasa. Perkembangan yang ditunjukkan juga amat positif setakat hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keadaan terkini Jaslinda yang menerima rawatan di Hospital Tapah.

Dr Wan Immi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi melawat Jaslinda di hospital itu.

Sementara itu, Mohd Azlan turut berkongsi, Jaslinda memaklumkan mahu cepat sembuh dan keluar dari hospital kerana mahu menghadiri majlis konvokesyen anaknya nanti.

“Beliau menyatakan nak cepat keluar untuk bekerja semula juga, jadi di peringkat kami di kerajaan negeri, akan cuba membantu semampunya. Terima kasih kepada semua pihak, yang penting beliau sihat walaupun ada sedikit kecederaan di kaki,” katanya.

Pada Sabtu, Jaslinda ditemukan oleh masyarakat Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Menyelamat dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh bersama-sama 13 individu dan dua Malim Gunung Perhutanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.