
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari, mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2026, semalam.
- Sze Fei-Izzuddin bangkit selepas kalah set pertama, menewaskan wakil tuan rumah 13-21, 21-19, 21-10 di Istora Senayan, Jakarta.
- Malaysia kembali menjuarai acara beregu lelaki Terbuka Indonesia pertama kali sejak 2008, menamatkan kemarau 18 tahun.
- Kemenangan mengukuhkan reputasi Sze Fei dan Nur Izzuddin sebagai antara beregu lelaki terbaik dunia kini.
- Kejayaan beri suntikan keyakinan menjelang beberapa kejohanan utama sepanjang musim ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian membanggakan yang menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk kembali muncul juara acara beregu lelaki di kejohanan berprestij tersebut.
“Tahniah kepada beregu negara, Sze Fei dan Nur Izzuddin, atas kejayaan menjuarai Terbuka Indonesia 2026 semalam. Penantian 18 tahun negara akhirnya berakhir,” katanya.
Pada aksi akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pasangan ranking kelapan dunia itu bangkit daripada kekalahan pada set pertama sebelum menewaskan wakil tuan rumah, Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin, 13-21, 21-19, 21-10.
Kejayaan tersebut menyaksikan Malaysia kembali menjuarai acara beregu lelaki Terbuka Indonesia buat kali pertama sejak edisi 2008, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 tahun.
Kemenangan itu turut mengukuhkan reputasi Sze Fei-Izzuddin sebagai antara beregu lelaki terbaik dunia ketika ini, selain memberikan suntikan keyakinan menjelang beberapa kejohanan utama yang bakal diharungi sepanjang musim ini.