
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kutipan derma dan sumbangan yang diterima bagi Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 berjaya mengumpul sejumlah RM3.5 juta, melebihi sasaran awal RM3 juta.
- Datuk Seri Dr. Wan Azizah kata sasaran baru perlu ditetapkan kerana peningkatan kos hidup.
- Beliau menyeru masyarakat tidak melupakan jasa pahlawan dan terus mendoakan serta menghargai pengorbanan mereka.
- Larian Amal My Warriors Run 2026 berjaya menghimpunkan 3,000 peserta pelbagai lapisan untuk mengumpul dana.
- Penaung mengucap terima kasih kepada badan korporat, pengamal media dan masyarakat atas sokongan serta acara sampingan.
Menurut Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, jumlah tersebut berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak, termasuk badan korporat, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pahlawan terdahulu.
“Kita dapat lebih, RM 3.5 juta namun dengan peningkatan kos hidup ketika ini kita perlu tetapkan sasaran baru sesuai dengan situasi semasa, disamping terus menyalurkan sumbangan.
“Jasa mereka yang telah memberikan negara kita ini keamanan selama ini kita jangan lupakan. Kita duduk selesa selama ini hasil pengorbanan mereka dan sepatutnya mereka diberi penghargaan dan kita sama-sama doakan kebaikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Larian Amal My Warriors Run 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai larian amal, Dr Wan Azizah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pengamal media yang berkongsi kesedaran kepada masyarakat mengenai program itu disamping menzahirkan solidariti masyarakat dalam menghargai jasa dan bakti Veteran Angkatan Tentera Malaysia.
Larian sejauh tujuh kilometer itu berjaya menghimpunkan seramai 3,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi mengumpul dana untuk tabung tersebut.
Program itu turut diserikan dengan pelbagai acara sampingan.