
HOUSTON, 7 Jun – Juara Olimpik, Gabby Thomas, membuktikan kehebatannya apabila memenangi acara 200 meter wanita dengan catatan masa terpantas dunia bagi tahun ini di Kejohanan Grand Prix Lone Star di sini, pada Sabtu.
- Gabby mencatat 21.70 saat, memecahkan rekod terbaik dunia 2026 sebelum ini 21.86 saat milik Julien Alfred.
- Beliau mula mendahului selepas selekoh dan memecut laju menamatkan perlumbaan dalam cuaca panas dan lembap.
- Thomas terkejut dengan catatan masa, berkata latihan keras dan jelajah Afrika membantu; akan pilih kejohanan dan nikmati baki musim.
Pelari pecut Amerika Syarikat itu melintasi garisan penamat dengan masa 21.70 saat sekali gus meleburkan rekod terbaik dunia tahun 2026 sebelum ini milik juara 100m Olimpik, Julien Alfred dari St. Lucia (21.86 saat) yang dicatatkan di Austin, Texas pada 30 April lepas.
Dalam perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas dan lembap itu, Gabby mempamerkan larian bertenaga apabila mula mendahului perlumbaan ketika melepasi selekoh sebelum memecut laju menuju ke garisan penamat.
Tempat kedua menjadi milik rakan senegaranya, Kayla White, yang mencatatkan masa 22.07 saat, manakala pelari Nigeria, Favour Ofili, sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga dengan masa 22.15 saat.
Gabby, yang ditemui selepas perlumbaan, mengakui beliau sendiri tidak menjangkakan akan melakukan catatan masa sepantas itu pada awal musim ini.
“Saya harus akui bahawa saya agak terkejut dengan catatan masa ini. Bagaimanapun, saya sememangnya telah menjalani latihan dengan sangat keras.
“Saya baru sahaja melalui siri jelajah pendek yang hebat di Afrika dan sekembalinya ke balapan, saya terus fokus bekerja keras. Saya gembira kerana segala usaha ini membuahkan hasil,” katanya.
Gabby merupakan antara bintang paling menyinar pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang lalu apabila membawa pulang pingat emas bagi acara 200m wanita, selain turut membantu skuad kuartet Amerika Syarikat memenangi emas dalam acara berganti-ganti 4x100m dan 4x400m. – AFP
Mengulas mengenai prestasinya musim ini, Thomas menjelaskan bahawa beliau mengambil pendekatan yang lebih santai untuk menghadapi baki kejohanan yang akan datang.
“Saya berpeluang memilih kejohanan yang benar-benar saya mahu sertai dan saya mahu seronok melakukannya. Perasaan ini membuatkan saya sentiasa tidak sabar untuk bangun pagi dan turun ke balapan setiap hari,” katanya lagi.