Pecah gandingan beregu: BAM ambil risiko demi Olimpik

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / RTM

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memecahkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Tee Kai Wun-Man Wei Chong disifatkan sebagai strategi jangka panjang bagi memperkukuh beregu negara menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tengku Zafrul sokong keputusan selepas perbincangan dengan Rexy dan Majlis BAM; mahu jurulatih uji gandingan baharu sekarang, bukan semasa kelayakan Olimpik.
  • Pasangan asal kekal untuk kejohanan besar dan ranking dunia tidak terjejas; Kejohanan Dunia kekal ikut gandingan asal untuk tujuan kelayakan.
  • Terbuka Jepun tunjukkan perubahan: Aaron dengan Tee Kai Wun, Soh Wooi Yik dengan Man Wei Chong; usaha berani bagi persaingan dan variasi.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, perancangan tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan ranking dunia semasa membabitkan kedua-dua pasangan berkenaan yang kini berada dalam kelompok terbaik dunia.

“Perkara ini telah dibincangkan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky bersama Ahli Majlis BAM sejak sebulan lalu. Saya menyokong penuh keputusan pihak kejurulatihan untuk mencuba strategi berbeza ini.

“Kita perlu memberikan ruang kepada jurulatih untuk menguji gandingan baharu sekarang, berbanding melakukannya pada tahun depan ketika tempoh kelayakan Olimpik sudah bermula,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa gandingan Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun akan tetap dikekalkan bagi menghadapi beberapa kejohanan besar dunia dan kekal menggunakan ranking dunia semasa mereka.

“Bagi Kejohanan Dunia, mereka akan kekal dengan pasangan asal kerana kelayakan adalah berdasarkan gandingan tersebut.

“Namun untuk jangka masa panjang, kita perlu lebih proaktif dalam merangka strategi yang mampu memberikan kelebihan buat negara,” tambahnya.

Berdasarkan senarai penyertaan Terbuka Jepun yang dijadualkan berlangsung di Tokyo pada 14 hingga 19 Julai depan, Aaron Chia akan digandingkan bersama Tee Kai Wun, manakala Soh Wooi Yik akan berpasangan dengan Man Wei Chong.

Langkah berani BAM itu dilihat sebagai usaha untuk mewujudkan persaingan serta menambah variasi dalam corak permainan beregu lelaki negara di pentas antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.