TVET perlu seimbangkan kemahiran dan akhlak

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 di Dataran Putrajaya hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Jun – Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada kemahiran teknikal, malah pembentukan akhlak, disiplin dan nilai kemanusiaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguasaan teknologi seperti AI, digital dan tenaga hijau mesti disertai integriti dan tanggungjawab tinggi.
  • Kemajuan teknologi tanpa nilai boleh membawa penyalahgunaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
  • Perkukuh disiplin dan pembinaan karakter pelajar supaya majikan mendapat pekerja jujur, beretika dan mampu bekerjasama.
  • Penerapan nilai seperti kejujuran, empati dan tanggungjawab menjadikan generasi berkemahiran tinggi serta berintegriti.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguasaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan tenaga hijau perlu disertai dengan integriti serta rasa tanggungjawab yang tinggi.

“Kalau kita mahu melatih manusia, nilai dan akhlak, keinsanan serta aspek kemanusiaan itu mesti diterapkan. Kemahiran sahaja tidak memadai jika tidak disertai dengan nilai yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2026.

Menurut beliau, kemajuan teknologi tanpa panduan nilai boleh membawa kepada penyalahgunaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau turut menggesa institusi TVET untuk memperkukuh aspek disiplin dan pembinaan karakter pelajar kerana majikan kini bukan sahaja mencari pekerja yang mahir, tetapi juga individu yang jujur, beretika dan mampu bekerjasama dengan baik.

Dalam era AI, kemahiran teknikal adalah penting, namun nilai seperti kejujuran, empati dan tanggungjawab menjadi kelebihan yang tidak boleh digantikan oleh teknologi.

Justeru, penerapan nilai dan akhlak yang baik dalam sistem TVET mampu melahirkan generasi yang berkemahiran tinggi, berintegriti serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.