Piala Dunia 2026: Impian Karl wakili Jerman lebur

Foto REUTERS

CHICAGO, 6 Jun – Impian bintang muda Bayern Munich, Lennart Karl, untuk beraksi di pentas Piala Dunia musnah selepas penyerang remaja Jerman itu disahkan mengalami kecederaan otot serius ketika sesi latihan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Assan Ouedraogo dari RB Leipzig dipanggil menggantikan Karl dalam skuad kebangsaan.
  • DFB mengesahkan Karl mengalami koyak otot bundle semasa sesi latihan terakhir dan diketepikan daripada kejohanan.
  • Karl baru membuat penampilan utama pertama untuk Jerman dan menyumbang satu bantuan gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Finland.
  • Manuel Neuer direhatkan bagi perlawanan persahabatan untuk elak risiko tetapi dijangka diturunkan pada perlawanan pembukaan menentang Curacao.

Kecederaan berkenaan sekali gus memaksa skuad kendalian Julian Nagelsmann memanggil pemain tengah RB Leipzig, Assan Ouedraogo, sebagai pengganti.

Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dalam satu kenyataan menerusi laman Instagram rasminya memaklumkan bahawa pemain berusia 18 tahun itu mengalami koyak otot bundle semasa sesi latihan terakhir pada Jumaat.

“Lenny (Karl) mengalami kecederaan otot hari ini dalam sesi latihan terakhir dan diketepikan daripada kejohanan akibat kecederaan ini.

“Semoga cepat sembuh, kami sentiasa bersamamu,” kata DFB.

Sebelum itu, Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, ketika ditemui di Chicago menjelang perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu berkata, kecederaan Karl “kelihatan agak serius” dan pemain itu telah dikejarkan ke hospital untuk menjalani imbasan penuh.

Kehilangan Karl merupakan tamparan hebat buat skuad kebangsaan Jerman selepas pemain itu mempamerkan prestasi luar biasa dalam saingan Bundesliga musim ini.

Malah, Karl baru sahaja membuat penampilan sulungnya dalam kesebelasan utama Jerman ketika membantu pasukan mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Finland pada Ahad lalu, termasuk menyumbang satu bantuan gol.

Sementara itu, Nagelsmann turut mengesahkan bahawa penjaga gol veteran, Manuel Neuer, tidak akan diturunkan dalam aksi persahabatan menentang AS bagi mengelakkan sebarang risiko.

Namun, beliau menaruh keyakinan bahawa pemain berusia 40 tahun itu dapat diturunkan bagi aksi pembukaan Piala Dunia menentang Curacao pada 14 Jun ini.

Neuer, yang membantu Jerman merangkul kejuaraan Piala Dunia 2014, mengejutkan ramai pihak apabila dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan pada Mei lalu selepas hampir dua tahun mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa.

“Pada usia beliau, beliau tidak lagi memerlukan fasa memanaskan badan. Beliau amat memahami cara mengendalikan situasi bertekanan tinggi.

“Beliau kini dalam fasa terbaik untuk mencapai tahap kecergasan puncak, namun kami tidak mahu mengambil sebarang risiko untuk perlawanan esok (Sabtu),” tambah Nagelsmann. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.