MTA sasar lima pasukan ke Piala Dunia Ragbi Sentuh 2028

Syed Affendi Syed Ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Skuad ragbi sentuh negara akan menguji kemampuan di pentas antarabangsa apabila menyertai Asia Pacific Seniors Cup di Jepun pada Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MTA mensasarkan menghantar lima pasukan ke Piala Dunia Ragbi Sentuh 2028 di New Zealand sebagai persediaan awal.
  • Kategori yang disasarkan: lelaki terbuka, wanita terbuka, campuran terbuka, lelaki 40 tahun dan lelaki 50 tahun.
  • Sasaran utama adalah memperbaiki pencapaian selepas tempat keenam yang dicapai pada 2024.
  • Selangor Touch Fiesta 2026 rekod peningkatan penyertaan kanak-kanak perempuan bawah 12 tahun; semua slot habis dalam 15 minit.

Presiden Persatuan Ragbi Sentuh Malaysia (MTA), Syed Affendi Syed Ibrahim berkata penyertaan itu merupakan antara persediaan awal bagi menghadapi Piala Dunia Ragbi Sentuh 2028 di New Zealand.

“Kami menyasarkan untuk menghantar lima pasukan iaitu kategori lelaki terbuka, wanita terbuka, campuran terbuka, lelaki 40 tahun dan lelaki 50 tahun. Pencapaian terbaik sebelum ini ialah pada 2024 apabila kami memperoleh tempat keenam, dan sasaran kami adalah untuk memperbaiki pencapaian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Penyerahan Replika Cek bersama sebuah jenama sukan tempatan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kejohanan Selangor Touch Fiesta 2026 merekodkan peningkatan penyertaan kategori kanak-kanak perempuan bawah 12 tahun dalam sukan ragbi sentuh apabila semua slot kejohanan itu habis ditempah dalam tempoh 15 minit.

Syed Affendi  berkata perkembangan itu mencerminkan peningkatan minat dalam kalangan pemain muda terhadap sukan berkenaan.

“Tahun lalu, penyertaan kategori kanak-kanak perempuan bawah 12 tahun sebanyak 22 pasukan. Tahun ini meningkat kepada 24 pasukan. Apabila pendaftaran dibuka, semua slot habis dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Syed Affendi menambah usaha pembangunan bagi kategori kanak-kanak lelaki masih perlu diperkukuh bagi memastikan penyertaan lebih seimbang di peringkat akar umbi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.