Terengganu destinasi percutian keluarga

Suasana di Dataran Shahbandar dan pemandangan indah Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang menjadi mercu tanda ikonik negeri/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pulau dan pantai menakjubkan: air jernih, terumbu karang dan aktiviti keluarga seperti snorkeling serta panorama matahari terbit.
  • Kekayaan budaya: dialek Terengganu, tenunan, batik, makanan warisan seperti nasi dagang, sata dan keropok lekor.
  • Keramahan penduduk dan budaya hormat menjadikan percutian lebih bermakna dan seperti merasai suasana kampung sendiri.
  • Edu-tourism dan inisiatif komuniti: peluang pembelajaran marin melalui UMT, pemuliharaan serta sokongan kepada ekonomi tempatan.

Musim cuti umum sempena Hari Raya Aidiladha yang berlangsung serentak dengan cuti persekolahan bermula 22 Mei hingga 7 Jun 2026 memberi peluang kepada rakyat Malaysia meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Bagi ramai yang merancang percutian dalam negara, Terengganu terus menjadi antara destinasi pilihan utama kerana menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya, pengalaman pembelajaran dan suasana yang tenang untuk seisi keluarga.

Ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik yang berlarutan di Timur Tengah, ramai pelancong kini lebih cenderung memilih destinasi domestik yang selamat, mudah diakses dan menawarkan nilai terbaik untuk wang yang dibelanjakan.

Dalam konteks ini, Terengganu tampil sebagai pilihan yang bukan sahaja menjimatkan, malah mampu memberikan pengalaman percutian bertaraf antarabangsa.

Sepanjang musim cuti sekolah dan Aidiladha, laluan ke negeri Pantai Timur itu menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong ke negeri paling ‘bahagia’.

Selain menikmati keindahan pantai dan pulau-pulau yang terkenal, ibu bapa turut menjadikan percutian sebagai platform pendidikan tidak formal untuk memperkenalkan sejarah, budaya dan warisan tempatan kepada generasi muda.

Nama-nama seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Lang Tengah sememangnya tidak asing dalam kalangan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Kejernihan air laut, keindahan terumbu karang serta panorama semula jadi yang memukau menjadikan pulau-pulau ini antara destinasi paling dicari ketika musim cuti.

Selain pulau, Terengganu turut memiliki deretan pantai yang indah dan sesuai untuk aktiviti keluarga seperti Pantai Batu Buruk, Pantai Penarik, Pantai Kelulut, Pantai Pandak dan Pantai Kemasik.

Keindahan matahari terbit yang menjadi identiti Pantai Timur sering kali menjadi pengalaman yang sukar dilupakan oleh pengunjung.

Namun, daya tarikan Terengganu tidak terhad kepada alam semula jadi semata-mata. Negeri ini kaya dengan identiti budaya yang masih dipelihara dengan baik.

Dialek Terengganu yang unik, seni pembuatan bot tradisional, tenunan songket, batik serta pelbagai makanan warisan seperti nasi dagang, sata dan keropok lekor memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pelancong.

Malah, interaksi mesra masyarakat setempat menjadikan ramai pengunjung berasa seperti berada di kampung sendiri.

Nilai hospitaliti yang tinggi dan budaya saling menghormati yang diamalkan masyarakat Terengganu mewujudkan rasa kesepunyaan serta ‘lebih dekat’ antara satu sama lain menjadikan pengalaman percutian lebih bermakna.

Terengganu juga semakin dikenali sebagai destinasi edu-tourism atau pelancongan pendidikan.

Kewujudan institusi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuka peluang kepada pelawat untuk memahami dengan lebih dekat mengenai biodiversiti marin, pemuliharaan terumbu karang, ekonomi biru dan kelestarian alam sekitar.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, Profesor Madya Dr. Nor Fatimah Che Sulaiman, berkata rakyat Malaysia wajar memanfaatkan musim cuti sekolah dan perayaan untuk meneroka destinasi domestik yang menawarkan pengalaman dan nilai lebih baik.

“Pemilihan Terengganu sebagai destinasi pelancongan bukan sahaja merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan, malah menawarkan pilihan percutian yang lebih menjimatkan kepada keluarga.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, pelancongan domestik merupakan pilihan yang lebih bijak dan berhemat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan pelancong domestik akan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat melalui sektor penginapan, pengangkutan, makanan dan perusahaan kecil komuniti.

Tinjauan penulis di beberapa platform media sosial turut mendapati ciapan positif yang dimuat naik pengunjung mengenai pengalaman percutian di Terengganu. Antaranya “Dah 2 kali datang sini tahun ni, tapi rasa nak datang lagi” – Aina Jr, “Makanan, tempat, pantai semua best” – Adam.

Terengganu menawarkan gabungan lengkap antara rekreasi, pendidikan, budaya dan alam semula jadi. Ini menjadikannya destinasi yang sesuai untuk ibu bapa membawa anak-anak mengenali kekayaan warisan negara sambil menikmati percutian yang menyeronokkan.

Konsep pelancongan berasaskan komuniti yang semakin berkembang di negeri ini turut membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan serta mengukuhkan ekosistem pelancongan yang mampan.

Lebih membanggakan, Terengganu turut diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia, mencerminkan kesejahteraan hidup masyarakatnya. Faktor tersebut secara tidak langsung menyumbang kepada pengalaman pelancongan yang lebih positif kerana pengunjung dapat merasai sendiri suasana kehidupan yang aman, mesra dan harmoni.

Justeru, bersempena musim cuti Aidiladha dan cuti sekolah tahun ini, Terengganu membuktikan bahawa destinasi percutian terbaik tidak semestinya berada di luar negara.

Keindahan pulau dan pantai, kekayaan budaya, keramahan penduduk, peluang pembelajaran serta kos yang lebih berpatutan menjadikan negeri ini pilihan ideal untuk seisi keluarga.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Amirul Salam Hasan
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Malaysia Terengganu
E-mel: amirulsalam@umt.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.