China gesa pelaksanaan penuh, adil resolusi UNSC

Foto REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 24 Jun – China menggesa pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) secara penuh, adil, tepat pada masanya, dan menyeluruh, selain menuntut agar tindakan ketenteraan unilateral yang membelakangkan badan dunia itu dihentikan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fu Cong membentangkan cadangan empat perkara untuk menangani isu pelaksanaan resolusi UNSC.
  • Mesyuarat meneliti kesan kegagalan, kelewatan dan pelaksanaan selektif serta halangan institusi, perundangan dan politik.
  • Dicadangkan semakan berkala bagi resolusi terabai dan laporan segera oleh Sekretariat serta agensi berkaitan.
  • Tingkatkan keupayaan penguatkuasaan melalui penggubalan telus dan rundingan penuh untuk memastikan objektiviti dan sokongan luas.

Wakil Tetap China ke PBB, Fu Cong, membentangkan cadangan empat perkara bagi menangani isu berkenaan semasa mesyuarat tidak rasmi “Formula Arria” yang dianjurkan bersama China dan Pakistan pada Selasa.

Mesyuarat itu meneliti kesan kegagalan, kelewatan, atau pelaksanaan resolusi secara terpilih, di samping mengenal pasti faktor institusi, perundangan, dan politik yang menghalang penguatkuasaannya.

“Keutamaan tertinggi ketika ini adalah untuk mempertahankan autoriti undang-undang resolusi UNSC secara tegas, dengan menegaskan bahawa setiap resolusi merupakan kewajipan yang mesti dipatuhi oleh semua negara anggota, bukannya pilihan yang boleh diambil secara terpilih.

“Tiada mana-mana negara yang harus mengamalkan dasar talam dua muka atau melaksanakan resolusi secara berpilih-pilih berdasarkan kepentingan atau kecenderungan politik masing-masing,” katanya di sini.

Bagi mengatasi kekurangan pelaksanaan tersebut, Fu menggesa UNSC memberi tumpuan yang seimbang kepada krisis baharu dan isu-isu yang masih belum diselesaikan.

Beliau turut menyarankan agar semakan berkala dibuat terhadap resolusi yang terabai, selain meminta Sekretariat PBB dan agensi berkaitan melaporkan kemajuan serta risiko pelaksanaan dengan kadar segera.

Di samping itu, Fu menekankan kepentingan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan resolusi melalui proses penggubalan yang telus dan rundingan penuh, bagi memastikan setiap cadangan adalah objektif, berkecuali, dan mengelakkan draf kontroversial yang kekurangan sokongan luas.

“Sebarang tindakan ketenteraan sepihak tanpa mandat UNSC adalah tidak boleh diterima, manakala sekatan unilateral yang melampaui skop resolusi dianggap tidak sah dan hilang legitimasi,” katanya lagi.

Sebagai anggota tetap UNSC, Fu mengulangi komitmen China untuk terus mempertahankan peranan dan autoriti PBB serta Majlis Keselamatan dalam memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa di bawah panduan Inisiatif Tadbir Urus Global.

Mesyuarat Formula Arria merupakan mekanisme rundingan tidak rasmi yang membolehkan anggota UNSC berkomunikasi secara fleksibel dengan negara anggota dan pihak berkaitan mengenai isu-isu kepentingan bersama. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.