Cubaan seludup 24 kotak gabus berisi sayuran gagal

PGA Tenggara rampas sayur seludup dan lori bernilai RM180,000 turut disita/Foto PGA Tenggara

TUMPAT, 4 Jun – Seorang pemandu ditahan manakala 24 kotak gabus berisi pelbagai jenis sayur-sayuran yang dipercayai diseludup dari Thailand dirampas dalam serbuan di Pengkalan Haram Pok Mat, Lubok Gong, Rantau Panjang petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan lori menjumpai 14 kotak sawi kampung, enam kotak anak jagung dan empat kotak daun ketumbar dipercayai diseludup.
  • Nilai rampasan dianggarkan RM2,400 sayur dan lori bernilai RM180,000, jumlah RM182,400.
  • Suspek berkata permit belum diluluskan, guna laluan tidak sah untuk elak cukai; kes disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki berusia 33 tahun itu mengaku ini kali kedua dia mendapatkan bekalan sayur-sayuran melalui pengkalan haram berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan menemukan 14 kotak gabus berisi sayur sawi kampung, enam kotak gabus anak jagung dan empat kotak gabus daun ketumbar yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Pemandu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan bekalan sayur-sayuran terbabit sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada RTM pada Rabu.

Beliau berkata nilai rampasan sayur-sayuran dianggarkan RM2,400 manakala lori yang digunakan dianggarkan bernilai RM180,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM182,400.

“Suspek memaklumkan permit kemasukan sayur-sayuran yang dipohon masih belum diluluskan dan bertindak mendapatkan bekalan melalui laluan tidak sah bagi mengelakkan pembayaran cukai,” katanya.

Beliau berkata sayur-sayuran berkenaan dipercayai untuk dihantar ke beberapa pasar raya di Pantai Timur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

“Rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kota Bharu untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.