
SEPANG, 4 Jun – Kumpulan pertama jemaah haji negara bagi musim 1447H/2026M selamat tiba di tanah air pada pukul 1.13 minit pagi tadi menerusi penerbangan sulung yang membawa seramai 332 jemaah.
- Sambutan ketibaan oleh Dr. Zulkifli Hasan, pengurusan Lembaga Tabung Haji dan keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
- Dr. Zulkifli puji akhlak dan disiplin jemaah, menjadi imej terbaik serta teladan kepada jemaah haji lain di seluruh dunia.
- Tabung Haji memantau kesihatan jemaah; setakat ini 17 jemaah direkodkan meninggal dunia di Tanah Suci.
- 100 penerbangan dijadual membawa pulang 31,600 jemaah secara berperingkat sehingga 1 Julai.
Ketibaan para Dhuyufurrahman itu disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, Pengurusan Kanan Lembaga Tabung Haji dan ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Menurut Dr. Zulkifli, jemaah haji negara menunjukkan akhlak dan disiplin yang baik sepanjang berada di Tanah Suci.
“Bermulanya fasa kedua haji urusan haji tahun ini iaitu fasa kepulangan. Jemaah haji kita telah menunjukkan akhlak dan disiplin yang baik serta menjadi imej yang terbaik, sekali gus menjadi contoh dan teladan kepada jemaah haji lain di seluruh dunia.
“Semoga semua jemaah haji selamat pulang ke tanah air dengan membawa haji yang mabrur, insya-Allah, serta kembali dengan semangat baharu. Kita sama-sama mendoakan,” katanya.
Beliau turut mensyukuri kelancaran keseluruhan operasi haji tahun ini dan menghargai kerjasama serta dukungan semua pihak yang terlibat berganding bahu menjayakannya.
Tambahnya, Tabung Haji telah memantau perkembangan kesihatan para jemaah, namun setakat ini 17 jemaah direkodkan telah meninggal dunia di Tanah Suci.
Sebanyak 100 penerbangan telah dijadualkan bagi membawa pulang 31,600 jemaah negara secara berperingkat sehingga 1 Julai depan.
Sementara itu, Tabung Haji akan menyertai beberapa siri perbincangan serta penyelarasan sebagai persediaan awal susulan Kerajaan Arab Saudi telah memulakan perancangan musim haji tahun hadapan pada 29 Mei lalu.