
KUALA LUMPUR, 3 JUN – Malaysia perlu mempergiat usaha membangunkan ekosistem tenaga yang bersih, pintar, saling berhubung dan berdaya tahan bagi memenuhi keperluan masa depan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
- RMK13 menuntut keseimbangan keutamaan strategik termasuk keterjaminan tenaga jangka panjang dan pengukuhan ketahanan sistem tenaga negara.
- Pemodenan grid menyeluruh perlu bagi membolehkan integrasi tenaga boleh diperbaharui berskala besar dan pembangunan penyimpanan bateri.
- Perlu mempertingkatkan pendigitalan, penggunaan kecerdasan buatan, memperluas kesalinghubungan tenaga ASEAN dan melahirkan bakat berkemahiran tinggi.
- Mempercepat penyahkarbonan sambil mengekalkan daya saing ekonomi dan kos berpatutan, walau berhadapan kos peralihan tinggi serta ketidaktentuan global.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata RMK13 menuntut negara mengekalkan keseimbangan antara beberapa keutamaan strategik termasuk keterjaminan tenaga jangka panjang serta memperkukuh ketahanan sistem tenaga negara.
“Usaha ini merangkumi pengukuhan pemodenan grid yang menyeluruh, membolehkan integrasi tenaga boleh diperbaharui berskala besar, dan membangunkan keupayaan penyimpanan tenaga bateri.
“Selain itu, mempertingkatkan pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), memperluaskan kesalinghubungan tenaga ASEAN, serta melahirkan bakat berkemahiran tinggi untuk ekonomi tenaga baharu”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama khas pada Persidangan Peralihan Tenaga TNB 2026 (ETCon26) di sini, hari ini.
Sementara itu, Malaysia perlu turut mempercepat agenda penyahkarbonan bagi memenuhi komitmen iklim dan aspirasi kemampanan, di samping mengekalkan daya saing ekonomi serta memastikan kos yang berpatutan kepada rakyat dan sektor industri.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha mencapai keseimbangan berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk kos peralihan yang tinggi, ketidaktentuan pasaran global serta peningkatan tekanan pelaburan yang semakin ketara di peringkat antarabangsa.
ETCon26 yang diadakan pada 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, merupakan persidangan utama oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang bertujuan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan global untuk mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga.