
PASIR MAS, 2 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 100 bungkus air ketum bernilai RM5,430 dalam serbuan Op Taring Wawasan di sebuah rumah di Desa Wirajaya, Gual Periuk semalam (Isnin).
- Serbuan dibuat selepas maklumat mengenai kegiatan memproses dan menjual air ketum diterima.
- Anggota menemui pagar berkunci, memanjat pagar dan mengetuk pintu sebelum pemeriksaan premis.
- Peti sejuk dan peralatan memasak ditemui, dipercayai digunakan untuk memproses air ketum dan membungkus cecair kehijauan.
- Suspek diuji positif dadah, menyewa rumah khas sejak awal tahun lalu; kes disiasat mengikut Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kegiatan memproses dan menjual air ketum di lokasi terbabit.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, anggota PGA mendapati pagar rumah berkunci sebelum bertindak memanjat pagar dan mengetuk pintu rumah berkenaan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun membuka pintu grill rumah dan mengaku sebagai pemilik premis terbabit.
“Pemeriksaan di bahagian dapur rumah menemukan sebuah peti sejuk beku yang mengandungi 100 bungkusan plastik lutsinar berisi cecair kehijauan disyaki air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 100 liter,” katanya kepada RTM pada Selasa.
Ahmad Radzi berkata pemeriksaan lanjut turut menemukan dua periuk memasak, dua set dapur memasak, sebuah tungku memasak serta tong gas dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing suspek yang berasal dari Puchong, Selangor itu didapati positif dadah.
“Suspek mula terlibat dalam kegiatan memproses air ketum sejak awal tahun lalu dan menyewa rumah berkenaan khas untuk menjalankan kegiatan itu.
“Air ketum yang diproses dipercayai dijual kepada pelanggan dengan harga RM10 sebungkus,” katanya.
Semua rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.