
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Negeri (DUN) Johor daripada Speaker Dewan negeri itu.
- SPR mengambil maklum sidang media Datuk Onn Hafiz mengenai pembubaran DUN Johor ke-15 pada 1 Jun 2026.
- Onn Hafiz mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
- Pengumuman dibuat dalam sidang media khas di kediaman rasmi beliau di Saujana, Johor Bahru.
- Pembubaran diluluskan selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam majlis menghadap hari ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN berkenaan.
“SPR mengambil maklum sidang media oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengenai pembubaran Dewan Negeri Johor Ke-15 pada hari ini, 1 Jun 2026.
“Sehubungan dengan itu, SPR akan memaklumkan tarikh bagi mengadakan Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berkaitan tarikh pembubaran Dewan Negeri Johor ini,” katanya.
Petang tadi, Onn Hafiz pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau di Saujana di Johor Bahru mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
Beliau berkata pembubaran itu dilakukan selepas mendapat titah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam satu majlis menghadap yang berlangsung hari ini. – BERNAMA