Video cubaan curi kabel tular, dua lelaki ditahan

Tangkap layar video tular

IPOH, 1 Jun – Polis menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Taman Rapat Setia Baru di sini, selepas rakaman kejadian itu tular menerusi media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman di aplikasi X memaparkan dua lelaki membuka sebuah kotak agihan TM berhampiran sebuah rumah.
  • Pemeriksaan mendapati tiada kehilangan kabel, tetapi terdapat kesan cubaan membuka dan menggeledah kotak DB.
  • Seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah dan tujuh rekod dadah; seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah.
  • Polis merampas sebuah Proton Persona dan beberapa barangan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan kira-kira 1 pagi tadi di sebuah restoran di kawasan Bercham.

“Semalam, pihak polis telah mengesan satu rakaman video tular menerusi aplikasi X yang memaparkan dua lelaki membuka sebuah kotak agihan (DB) milik TM berhampiran sebuah rumah di Taman Rapat Setia Baru.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada kehilangan kabel berlaku, namun terdapat kesan cubaan membuka dan menggeledah kotak DB tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati seorang daripada lelaki itu memiliki satu rekod kes jenayah dan tujuh rekod kes dadah manakala seorang lagi mempunyai tiga rekod kes jenayah.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipercayai digunakan semasa kejadian serta beberapa barangan lain bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.