AFC cadang reformasi pentadbiran dalam FAM

Datuk Seri Windsor Paul John

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal melalui reformasi pentadbiran besar apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mencadangkan 94 pindaan dalam draf statut baharu yang akan dibentangkan pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu, pada Khamis ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penstrukturan semula Exco kepada 11 anggota, dengan perwakilan negeri, kelab, wanita dan kumpulan pakar untuk meningkatkan keterwakilan dan keputusan.
  • Kelayakan calon diperketat: pengalaman bola sepak diperlukan, umur di bawah 70 pada pengundian, serta lulus tapisan SPRM, PDRM dan Jabatan Insolvensi.
  • AFC akan bentang audit kualiti pengurusan dan tubuhkan pasukan khas dipimpin Vahid Kardany untuk menilai serta cadangkan penambahbaikan tadbir urus FAM.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, cadangan tersebut bertujuan memodenkan struktur pentadbiran FAM serta menyelaraskannya dengan standard tadbir urus bola sepak antarabangsa.

Antara perubahan utama yang dicadangkan ialah pengurangan jumlah ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM daripada 17 kepada 11 orang, selain memberi ruang kepada wakil kelab, wanita dan kumpulan pakar untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan.

““Kita turut menstruktur semula komposisi Exco dengan memberi perwakilan kepada persatuan negeri, kelab serta kumpulan pakar yang terdiri daripada jurulatih, pengadil dan pemain.

“Tiga kerusi diperuntukkan kepada persatuan negeri, dua kepada kelab, satu kepada wanita dan satu lagi kepada kumpulan pakar, menjadikan keseluruhan Exco seramai 11 orang,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di ibu negara.

Selain penstrukturan semula exco, statut baharu itu turut mencadangkan syarat kelayakan yang lebih ketat kepada calon yang ingin bertanding jawatan dalam FAM.

“Mereka mesti mempunyai pengalaman dalam bola sepak sama ada di peringkat kelab atau persatuan negeri. Untuk dicalonkan ke mana-mana jawatan, calon juga perlu berumur bawah 70 tahun pada hari pengundian.

“Serta melepasi semua tapisan latar belakang termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi,” katanya lagi.

Sebarang bantahan terhadap cadangan statut tersebut perlu disertakan dengan justifikasi kukuh serta cadangan alternatif yang lebih baik untuk dipertimbangkan.

Dalam perkembangan sama, AFC turut akan membentangkan audit kualiti pengurusan FAM sebelum menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany bagi menilai serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap sistem pentadbiran badan induk bola sepak negara itu.

Perubahan berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus FAM serta meningkatkan profesionalisme pengurusan bola sepak Malaysia pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.