Israel perhebat serangan di selatan Lubnan

Foto REUTERS

BEIRUT, 31 Mei – Israel terus memperhebat serangan udara dan artileri di selatan Lubnan serta mencederakan dua tentera tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Netanyahu mengesahkan pasukan Israel melepasi Sungai Litani, memperluas kemaraan ke dalam Lubnan meskipun rundingan tajaan AS bakal diadakan.
  • Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan paksa terhadap lebih 12 kawasan penempatan di selatan dan timur Lubnan.
  • Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 3,300 orang terkorban sejak Mac, menggambarkan impak besar konflik.

Kejadian itu berlaku sehari selepas rejim Zionis mengumumkan kemaraan lebih jauh ke dalam wilayah itu sekali gus membelakangi perjanjian gencatan senjata yang dimeterai April lepas.

Serangan terbaharu itu dilancarkan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan pasukan tenteranya telah melepasi Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan, meskipun kedua-dua negara dijadualkan menghadiri pusingan baharu rundingan tajaan Amerika Syarikat minggu hadapan.

Menurut kenyataan tentera Lubnan, dua anggotanya cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka menjadi sasaran bedilan dron milik Israel di pinggir bandar Nabatieh.

Tindakan agresif itu berlaku susulan arahan pemindahan paksa yang dikeluarkan tentera Israel membabitkan lebih 12 kawasan penempatan di selatan dan timur Lubnan pada Sabtu.

Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan siri bedilan artileri rejim turut menyasarkan kawasan berhampiran kota bersejarah Beaufort, yang mengundang amaran daripada Menteri Kebudayaan, Ghassan Salame mengenai ancaman serius terhadap tapak warisan purba negara.

Rentetan situasi yang semakin meruncing, Presiden Joseph Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam telah mengadakan pertemuan bagi mempergiat hubungan diplomatik antarabangsa untuk mendesak penamatan segera serangan Israel.

Sementara itu, kumpulan Hizbullah bertindak balas dengan melancarkan roket ke penempatan Kiryat Shmona di utara Israel serta menyerang hendap pasukan darat rejim di Ghandouriyeh bagi memaksa mereka berundur.

Insiden berdarah terbaharu itu tercetus ketika delegasi ketenteraan kedua-dua negara baru sahaja menyelesaikan rundingan keselamatan di Washington, menjelang rundingan pusingan keempat tajaan AS yang dijadualkan berlangsung pada 2 dan 3 Jun ini.

Meskipun perjanjian gencatan senjata secara rasmi berkuat kuasa pada 17 April lalu, kedua-dua pihak saling menuduh berlaku pelanggaran syarat pertempuran.

Manakala Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan lebih 3,300 orang telah terkorban akibat konflik berkenaan sejak Mac lepas. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.