
JALALABAD, 30 Mei -Sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk 12 kanak-kanak, maut selepas sebuah lori yang membawa mereka terbalik di timur Afghanistan pada Sabtu.
- Lori membawa beberapa keluarga yang pulang dari Pakistan, mereka antara mangsa nahas.
- Nahas itu turut menyebabkan 33 orang cedera.
- Kemalangan jalan sering berlaku akibat jalan rosak, pemanduan berbahaya dan penguatkuasaan peraturan yang lemah.
Jurucakap Gabenor wilayah Laghman, Abdul Malik Niazai berkata, mangsa terdiri daripada lima wanita, tiga lelaki dan 12 kanak-kanak.
Katanya, nahas itu turut menyebabkan 33 lagi cedera.
Menurut beliau, lori berkenaan membawa beberapa keluarga Afghanistan yang pulang dari Pakistan selepas menetap di negara itu.
Kemalangan berlaku di jalan menghubungkan Jalalabad di timur Afghanistan dengan ibu negara Kabul.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid menerusi hantaran di platform X berkata, pihaknya amat berdukacita dengan tragedi berkenaan dan mendoakan kesembuhan segera semua mangsa yang cedera.
Nahas jalan raya sering berlaku di Afghanistan disebabkan keadaan jalan yang buruk selepas berdekad konflik, selain faktor pemanduan berbahaya dan kekurangan penguatkuasaan peraturan.
Pakistan sebelum ini mengambil pendekatan lebih tegas terhadap pendatang serta pelarian Afghanistan di negara itu sehingga menyebabkan ramai keluarga pulang ke Afghanistan dengan menaiki lori bersama barangan mereka.
Menurut data Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), seramai 447,400 rakyat Afghanistan pulang dari Pakistan sejak awal tahun ini. – AFP