
KUALA LUMPUR, 30 Mei- Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mencipta sensasi apabila menyamai rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 10.09 saat (s) pada aksi suku akhir Kejohanan NCAA Track & Field East Regional di Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
- Olahraga Malaysia memaklumkan kejayaan itu melalui kenyataan di Facebook.
- Azeem menjadi rakyat Malaysia pertama layak ke Grand Final NCAA acara 100 meter di Oregon bulan depan.
- Prestasi konsisten di Amerika Syarikat mengukuhkan beliau sebagai sandaran pecut negara bersama Danish Iftikhar menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Olahraga Malaysia (MA) memaklumkan kejayaan tersebut menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Pencapaian itu turut menyaksikan atlet berusia 22 tahun tersebut melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mara ke Grand Final NCAA bagi acara individu 100 meter (m), yang dijadual berlangsung di Oregon bulan depan.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn terlebih dahulu mempamerkan petanda positif apabila mencatat masa 10.13s pada pusingan pertama bagi mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan berkenaan.
Beliau kemudian meningkatkan prestasinya pada aksi suku akhir dengan catatan 10.09s, sekali gus menyamai rekod kebangsaan yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada 2022.
Prestasi konsisten yang dipamerkan sepanjang musim di Amerika Syarikat itu, mengukuhkan lagi status Azeem sebagai antara sandaran utama negara dalam acara pecut lelaki, bersama-sama Danish Iftikhar Muhammad Roslee, menjelang beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.