TAT hormati ISTAF, yakin insiden regu Malaysia-Thailand ditangani secara adil

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Insiden yang berlaku semasa perlawanan regu berpasukan antara Malaysia dan Thailand pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 perlu ditangani menerusi proses yang ditetapkan di bawah Perlembagaan, Undang-Undang Permainan, Peraturan Pertandingan dan Prosedur Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

RINGKASAN BERITA AI
  • ISTAF menegaskan perkara harus diselesaikan melalui mekanisme sedia ada perlembagaan, undang-undang permainan dan prosedur tatatertib.
  • ISTAF komited menjalankan siasatan bebas dan berkecuali untuk memelihara integriti sukan serta memberi peluang adil kepada semua pihak.
  • Semua fakta, laporan, bukti dan representasi akan dipertimbangkan mengikut prinsip keadilan sebelum sebarang keputusan dibuat.
  • TAT menghormati peranan ISTAF, yakin kebebasan dan integriti proses, serta menggesa semua pihak mengelak spekulasi awal.

Dalam kenyataan ISTAF, badan induk sukan itu memaklumkan bahawa perkara berkenaan wajar diselesaikan melalui mekanisme sedia ada yang telah digariskan oleh persekutuan.

ISTAF turut mengakui terdapat pelbagai perbincangan, ulasan, pandangan serta laporan media berhubung insiden yang berlaku dalam perlawanan regu berpasukan di Stadium Titiwangsa baru-baru ini.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata persekutuan itu kekal komited untuk memastikan semua perkara diteliti secara bebas dan berkecuali, selain memelihara integriti sukan sepak takraw serta memastikan semua pihak diberi peluang yang adil untuk didengar.

Beliau berkata ISTAF akan memastikan semua fakta, laporan, bukti dan representasi dipertimbangkan mengikut prinsip keadilan sebelum sebarang keputusan dibuat.

ISTAF turut menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pegawai, atlet, penyokong dan media supaya tidak membuat spekulasi atau andaian awal selagi proses semakan masih berjalan.

“Adalah penting integriti proses ini dihormati dan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam komuniti sepak takraw antarabangsa dielakkan,” menurut kenyataan itu.

Bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan terhadap proses berkenaan, Datuk Abdul Halim Kader akan membentangkan perkara itu kepada Jawatankuasa Eksekutif ISTAF dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Sementara itu, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa pihaknya menghormati peranan ISTAF sebagai badan induk antarabangsa sukan sepak takraw serta mengiktiraf kuasa persekutuan itu untuk meneliti dan membuat keputusan berhubung insiden tersebut.

Presiden TAT, Thana Chaiprasit berkata pihaknya yakin terhadap kebebasan, profesionalisme dan integriti proses semakan yang dijalankan oleh ISTAF.

“TAT yakin semua fakta, laporan, bukti dan representasi akan dipertimbangkan secara adil, objektif dan selaras dengan prinsip keadilan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

TAT turut menggesa semua pihak supaya tidak membuat spekulasi atau kesimpulan awal selagi proses semakan masih berlangsung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.