
BUDAPEST, 30 Mei – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique, menyifatkan bahawa juara bertahan Ligue 1 itu bukan pasukan pilihan menjelang aksi akhir Liga Juara Eropah (UCL) menentang Arsenal disini, pada Ahad.
- Enrique kata aksi akhir sentiasa sukar dan perincian kecil bakal menentukan kemenangan.
- Enrique anggap kedua-dua pasukan berkongsi pendekatan serupa tetapi taktik berbeza dan pertembungan falsafah tidak ketara.
- PSG tetap sasarkan mempertahankan kejuaraan; Hakimi dan Nuno Mendes cergas, Dembele pulih sepenuhnya.
Meskipun hadir dengan reputasi hebat selaku jentera serangan paling digeruni dalam kejohanan musim ini dengan rekod 44 gol, Enrique percaya perlawanan akhir sentiasa menjanjikan saingan yang seimbang.
“Aksi akhir sentiasa menjadi perlawanan yang sukar. Tahun lepas adalah sesuatu yang luar biasa apabila kami benar-benar mendominasi Inter.
“Namun untuk perlawanan esok, saya tidak fikir ada pasukan pilihan.
“Bagi kami, perincian kecil bakal menjadi penentu kemenangan. Perlawanan ini akan menjadi sangat sengit,” katanya dalam satu sidang media di Arena Puskas.
Enrique turut menolak pandangan bahawa perlawanan itu bakal menyaksikan pertembungan dua falsafah bola sepak yang berbeza.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai pendekatan yang hampir sama tetapi menggunakan taktikal berbeza.
“Mereka (Arsenal) juga sebuah pasukan yang gemar menjaringkan gol dan kami pula adalah pasukan yang bertahan dengan baik.
“Cuma kami melakukannya dengan cara yang berbeza,” tambah beliau.
Meskipun Arsenal turut berazam memburu kejuaraan sulung Eropah dalam sejarah kelab berkenaan, Enrique menegaskan PSG juga mempunyai misi untuk mempertahankan kejuaraan berkenaan buat kali kedua berturut-turut.
Selain itu, Enrique juga berpeluang menjadi pengurus kelima dalam sejarah yang menjulang trofi berkenaan sebanyak tiga kali, selepas memenanginya bersama Barcelona pada 2015 dan PSG pada musim lepas.
Mengenai sasaran kelab, Enrique mengakui bahawa kejayaan di pentas Eropah merupakan matlamat utama beliau sejak menyertai PSG.
Sementara itu, Enrique turut memaklumkan dua tonggak pertahanan, Achraf Hakimi dan Nuno Mendes, berada pada tahap kecergasan terbaik.
Manakala pemain sayap, Ousmane Dembele, dilaporkan telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis menjelang aksi akhir Liga Juara Eropah.