
BARCELONA, 30 Mei – Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona mengesahkan perpindahan pemain sayap Newcastle United, Anthony Gordon, dengan nilai perpindahan yang dilaporkan mencecah sehingga 80 juta euro atau (RM403.4 juta).
- Gordon menandatangani kontrak lima musim dengan Barcelona sehingga 30 Jun 2031.
- Gordon penjaring terbanyak Newcastle musim ini dengan 17 gol, termasuk 10 dalam kempen Liga Juara Eropah.
- Kedatangannya memerkasa jentera serangan Barcelona susulan perpisahan Lewandowski dan ketidakpastian masa depan Marcus Rashford.
Barcelona dalam kenyataan memaklumkan bahawa pemain berusia 25 tahun itu bakal menandatangani kontrak untuk “lima musim akan datang, sehingga 30 Jun 2031”.
Gordon, yang beraksi di posisi sayap kiri, merupakan penjaring terbanyak Newcastle musim ini dengan sumbangan 17 gol, termasuk 10 gol yang dalam kempen Liga Juara Eropah (UCL).
“Sejak kecil lagi, beraksi untuk Barcelona adalah impian terbesar saya, ia merupakan kelab terbesar di planet ini.
“Saya tahu jersi ini membawa tanggungjawab dan berat yang amat besar jika melihat kepada senarai pemain yang pernah menyarungnya sebelum ini, tetapi saya sudah bersedia dan teruja untuk menyahut cabaran ini,” kata Gordon kepada pemberita.
Kehadiran Gordon, yang juga sebahagian daripada skuad Piala Dunia England, bakal memperkasakan jentera serangan Barcelona susulan perpindahan penyerang veteran Poland, Robert Lewandowski yang tamat kontrak, selain ketidakpastian masa depan Marcus Rashford selepas tempoh pinjamannya dari Manchester United berakhir.
Selepas tiga tahun mengurangkan perbelanjaan serta pembukaan semula Stadium Camp Nou yang diubah suai sebahagiannya, Barcelona kini mempunyai ruang kewangan yang lebih stabil di bawah peraturan ketat Financial Fair Play (FFP) La Liga.
Selain memburu penyerang Atletico Madrid, Julian Alvarez, juara bertahan liga Sepanyol itu juga tidak menolak kemungkinan untuk mengekalkan Rashford secara tetap, manakala beberapa pemain lain seperti Roony Bardghji, Ansu Fati, dan Marc-Andre ter Stegen dilaporkan mungkin akan meninggalkan kelab.
Sementara itu bagi Newcastle, perpindahan Gordon merupakan jualan kedua terbesar dalam sejarah kelab berkenaan selepas penghijrahan Alexander Isak ke Liverpool dengan nilai £125 juta (RM790.6 juta) pada musim panas lalu.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu kini dilaporkan sedang mengintai pemain sayap Real Betis, Ez Abde, sebagai calon pengganti.
Gordon sebelum ini menyertai Newcastle dari Everton dengan nilai £45 juta pada 2023, di mana bekas kelabnya itu dijadualkan menerima 15 peratus daripada keuntungan hasil perpindahan terbaharu ini.- AFP