
KUALA LUMPUR, 29 Mei – Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tidak memberikan laluan mudah sebelum terpaksa akur tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Singapura 2026 hari ini.
- Paksa gandingan pilihan ketiga Indonesia ke set penentuan.
- Kalah 18-21 pada set pertama selepas lawan gunakan corak permainan lebih agresif.
- Bangkit kuat pada set kedua, menang 21-10 dengan permainan lebih kemas dan bertenaga.
- Pasangan Indonesia menang set ketiga 21-14, menewaskan mereka selepas 54 minit perlawanan.
Pasangan pilihan kelapan kejohanan itu terlebih dahulu memaksa gandingan pilihan ketiga dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang berhempas pulas hingga ke set penentuan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.
Pada set pertama kedua-dua pasangan mempamerkan aksi seimbang sebelum wakil Indonesia berjaya menggunakan corak permainan lebih agresif untuk menang 21-18.
Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin bangkit garang pada set kedua apabila tampil lebih kemas dan bertenaga untuk mendominasi permainan sebelum menang bergaya 21-10 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Momentum positif itu bagaimanapun gagal diteruskan apabila pasangan Indonesia kembali menguasai rentak permainan dalam set ketiga sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 21-14 untuk melangkah ke separuh akhir.
Pasangan Indonesia itu mengambil masa 54 minit untuk menewaskan wakil negara sekali gus menutup cabaran Sze Fei-Izzuddin dalam kejohanan berkenaan.